Pages

Subscribe:

Tuesday, April 20, 2010

Ku Pilih Kamu: Buat Mereka Memilih Permata

“Aku terima nikahnya Siti Sara binti Shamsuri dengan mas kahwinnya sebanyak RM645, tunai.” Lafaz akad penuh ketenangan. Biarpun jasad tampak tenang, namun akal ligat berputar memikirkan amanah yang bakal dipikul.

“Sah.” Bicara sang saksi tatkala diperhatikan oleh kadi.

“Alhamdulillah.” Suara syukur bergema baik pada pasangan pengantin mahupun para hadirin. Doa kesyukuran dan tasbih memuji Ilahi sentiasa seiring. Amanah telahpun terpikul di bahu seorang lelaki yang baru sahaja bergelar suami.

Siti Sara memandang Nasrul dengan perasaan terharu. Dirinya adalah pelengkap rusuk kiri Nasrul. Norazimah juga ada di situ. Begitu setia menjadi pengapit kepada pengantin perempuan yang bernama Siti Sara, permaisuri yang baru sahaja dimiliki Nasrul kini. Pandangan Nasrul dan Siti Sara bertentangan. Bicara hati ke hati melalui firasat inzar. Melalui senyuman, kasih terlakar.

“Mengapa aku memilih dirimu?” bisik hatiku. Persoalan yang sering bermain di mindaku. Aku rasakan yang aku telahpun temui jawabannya, jawaban itu agak sukar untuk diterima oleh orang lain. “Mengapa kamu? Kenapa tidak selain kamu?” Bisikan hati terus bergema di setiap penjuru hatiku. Pastinya, jawabannya adalah “Aku mencintaimu kerana aku dan kau mencintai Allah”. Kau adalah jambatan untukku menemui cinta-Nya. Tuhan yang menciptakan cinta melalui sebuah cita.

Ini mungkin takdirku. Aku bebas memilih siapa pun yang aku mahu. Dan apa yang aku mahu adalah kamu. Kamu yang taat pada Tuhan yang satu. Tiada kata yang dapat ku ungkapkan di bibirku melainkan tasbih yang memuji Tuhan yang Satu. Aku yakin kau mampu menjadikan aku tabah. Membangunkan aku dari rebah. Untuk aku berdiri penuh gagah. Menghilangkan segala resah. Seperti Khadijah menghilangkan resah Rasulullah, dalam setiap rintangan dan dugaan yang diredah.

Langkahku ke depan dengan kau memberi harapan. Mengajar aku ciri-ciri Abu Bakar. Mengingatkan aku kebijaksanaan Salahudin Al-Ayubi. Mengenangkan aku kepada pengorbanan Bilal bin Rabah. Menyingkapkan aku strategi-strategi perang di zaman itu. Namun kau tidak pernah pinta untuk aku menjadi seperti Sahabat Nabi. Kerana kau sendiri mengerti hakikat diri. Namun katamu tidak salah untuk mendamba semangat seperti mereka semua. Biarpun tidak seperti mereka, biarlah persis mereka. Yang mampu menjadikan juga kau persis srikandi-srikandi Islam. Yang mampu membawa bersama kau berjuang, agar Islam dapat dijulang. Masih terngiang-ngiang kata-kata harapanmu padaku. "Kalaulah semua strategi perang di zaman Rasul dan sahabatnya itu mampu digabungkan di dalam satu peperangan besar bagi menghadapi musuh seperti yahudi laknatullah". Begitu jauhnya pemikiranmu dalam mendaulatkan agama Allah. aku kagum memiliki srikandi sepertimu.

Apakah jalan perjuanganku ini adalah kerana kamu? Jawabmu kau menjadi perantaraan di antara aku dengan Allah. Kau diutuskan Allah untuk aku terus Istiqamah. Kau sebagai panduan untuk aku teguh tarbiyyah. Menetapkan aku di medan siasah. Jika manusia memerlukan jalan untuk ke destinasinya, kau adalah jalan untukku menemui cintaNya. Ini katamu. Aku setuju.

Duhai isteriku. Ini janjiku padamu. Dirimu sebahagian dari diriku. Bersamalah aku di dalam susah dan senang. Akalmu hanya satu, dampingilah sembilan lagi akal yang aku miliki agar segalanya dapat diharungi tanpa sangsi. Nafsumu sebanyak sembilan, janganlah ditarik nafsuku yang satu untuk menguatkan lagi nafsumu itu. Percayalah, “susah senang sentiasa seiring”. Kau umpama permata, akan aku terus memelihara ke’permataan’mu agar dusta dunia tidak meragut harta tarbiyah yang telah, sedang dan akan kau lalui. Tak ku terasa beban andai ku memilih permata. Kerana inilah yang telah berlaku dan inilah jua yang sedang berlaku. Inilah jawabanku. Inilah puncanya mengapa ‘Aku Pilih Kamu’. Satu permata dalam seribu. Kau permataku. Ku pilih kamu.

0 comments:

Post a Comment