Pages

Subscribe:

Friday, January 1, 2010

Kesatuan Pemikiran

"Susah sangatkah mahu menerima pandangan atau cadangan dari orang lain? Mengapa hanya mahu terima pandangan dan cadangan di kalangan kita sahaja? Atau mendengar hujah hanya di sebelah pihak?” soalan ini yang sering bermain dalam mindaku baik di peringkat rakan sekerja, ahli politik dan juga sesama teman. Perlu atau tidak kaedah dari golongan lain yang berada di luar lingkungan kita diletakkan di tempat yang rendah? Jawapanku mungkin tidak perlu kerana ada sebahagian kaedah yang dilakukan oleh mereka ini boleh diadaptasi menjadi versi di pihak kita. ‘Belajar sirah, melakar sejarah’.

Bukan bererti mandul minda untuk memikirkan idea baru dan bukannya bererti kita cenderung ke arah kemungkaran, tetapi cara betul yang kita rangka ini boleh menentukan matlamat yang ingin dicapai biarpun ada yang menyatakan ‘matlamat tidak menghalalkan cara’. Asalkan betul niat dan caranya, tidak menjadi kesalahan untuk menyerap sedikit idea dari mereka bagi mencetuskan suatu idealisme yang baru. ‘Matlamat tidak menghalalkan cara’ namun ‘cara boleh menentukan matlamat’.

Carilah titik persamaan di sebalik perbezaan yang ada. Satukan dengan diri dan selaraskan dengan landasan yang kita miliki sudah tentu matlamat yang kita impi akan menjadi realiti. Selongkar rahsia di sebalik rahsia mereka dan keluarkan ideologi perkasa yang mampu diteladani oleh semua. Mungkin agak sukar di peringkat permulaan, namun lama-kelamaan ia umpama ‘alah bisa tegal biasa’ dan sebati dengan jiwa. Buanglah sejauh mata memandang istilah ‘hidup nafsi-nafsi siapa lu siapa gua’ dalam diri kerana ia hanya akan mewujudkan benteng yang tebal di kalangan manusia dengan manusia dan mewujudkan sikap kurang peka suatu golongan terhadap golongan yang lain.

Jika hubungan manusia dengan Allah boleh diperlihara, mengapa hubungan sesama manusia hanya dipersia? Bukankah manusia itu bersaudara? Sepertimana firman Allah dalam kitabNya di dalam surah al-Hujurat ayat ke sepuluh yang bermaksud “Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara, maka perdamaikanlah dua saudara kamu yang bertelagah, dan bertakwalah kamu kepada Allah, semoga kamu mendapat rahmat”.

Maka damaikanlah jiwa dengan sulaman berprasangka baik. ‘Husnul Zhon’ adalah kunci ukhwah sejati. Namun di sebalik berprasangka baik, perlunya ada sikap berwaspada kerana kita hanya mampu mentafsir hanya dari segi luaran semata-mata sedangkan sikap dalaman tidak dapat ditembusi oleh pandangan mata. Kita mampu dan boleh belajar dari semut yang lebih yakin dengan jaminan Allah daripada jaminan Nabi Sulaiman yang hanya seorang manusia. Sentiasa mengambil persediaan bagi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku kerana hati manusia sering berubah mengikut peredaran masa dan situasi. Manusia itu terlalu banyak kelemahan di dalam diri. Yang pasti, ‘Husnul Zhon’ perlu disertakan dengan ‘Hazar’ bagi memperkasakan nilai-nilai Izzah dan mengenepikan sikap-sikap Assobiyah dalam proses penyatuan pemikiran.

0 comments:

Post a Comment