Pages

Subscribe:

Tuesday, January 12, 2010

Senyum

pictures credit to Dilakirana

“Senyumlah! Senyumlah! Ahai! Cek mek molek. Senyumlah! Senyumlah! Ahai! Cek mek molek.” Gurau teman sekerja dengan mendendangkan serangkap lagu yang dipopularkan oleh artis veteran bernama Dato’ M. Daud Kilau sambil diselangi dengan gelekan kecil pinggulnya. Aku tersenyum sendiri melihat gelagatnya.

“Haa… macam itu lah. Payah betul nak tengok hang senyum.” Tegurnya dan terus menghampiriku.

“Hang buat gila, boleh pula aku tak senyum.” Pandangan mataku beralih ke arahnya.

“Nak Tanya sikit. Kenapa payah sangat hang nak senyum?” Soalnya padaku. Aku diam menantikan reaksinya. “Senyum itu kan sedekah.” Sambungnya. “Betul!” balasku ringkas.

“Senyum itu akan membuatkan orang lain bahagia bila melihatnya.” Sambungnya lagi dan aku kekal dengan jawapan ringkasku, “Betul!”

“Hang juga yang pernah kata pada aku. Kalau kita memberi, bermakna kita akan menerima.” Semakin panjang penerangannya. “Betul!” Kekal dengan jawapan yang sama.

“Bererti, kalau kita memberi senyuman pada orang lain, orang lain juga akan memberi senyuman pada kita.” Aku dapat mengagak yang soalannya adalah berbentuk kenyataan.

“Pernah tak kita senyum pada seseorang, dan seseorang itu palingkan mukanya ke arah lain?” Jika sebentar tadi dia memberi soalan berbentuk kenyataan, dan kini aku memberi jawapan dalam bentuk soalan. Seri satu sama.

“Mungkin mereka tak perasan.” Keluhnya. Mungkin dia juga pernah mengalami situasi yang sama.

“Muka hensem macam aku ni, takkanlah orang tak perasan?” Tawa kecil kami berderai. Gurauan membawa kemanisan ukhwah. “Takkan ramai sangat yang tak perasan?” Soalnya kembali menahan diri dari ketawa.

“Bukan semua, tapi kebanyakkannya” Balasku. “Kalau kita tak senyum, orang akan kata kita sombong pula.” Sambungku lagi.

“Sebab manusia nilai dari segi luaran dan bukannya dari dalaman.” Penjelasannya sama dengan pemikiranku. Manusia hanya menilai dari luaran. Jika wajah kita kurang mempamerkan senyuman, orang akan menyatakan bahawa kita seorang yang sombong. Sedangkan hakikatnya tidak.

“Jadi, macammana nak buatkan orang membalas senyuman kita?” Pada aku dia memang arif dalam hal ehwal kemasyarakatan ini.

“Tentunya kita perlu ‘perasankan’ dia dengan kehadiran kita” Jari telunjuknya dinaikkan ke atas menunjukkan itu kaedah yang terbaik.

“Emm, bagus! Tapi kaedah untuk ‘memperasankannya’ pada kita?” Soalku kembali.

“Salam! Ya! Memberi salam! Apabila kita memberi salam pada orang lain, bermakna dia akan pandang ke arah kita. Pada waktu itulah kita lemparkan senyuman kita padanya. Dia akan menjawab salam dan sekaligus mengembalikan senyumannya pada kita!” Kali ini jari kanannya dipetik pula menandakan itulah jawapan muktamad bagi permasalahan ini.

Jam di telefon bimbit menunjukkan pukul lapan malam. Waktu kerja sudah tamat untuk hari itu dan kami perlu meneruskan kerja kami pada keesokkan harinya. Setibanya di bilikku, aku terus merebahkan tubuhku di atas katil. Telefon bimbitku disapa dengan mesej yang baru saja menjengah. Aku membuka mesej tersebut lalu membaca satu mesej yang terpampang pada paparan skrin itu.

"Ukirlah senyuman yang paling manis kerana selain menjadi sedekah, senyuman itu ibarat lukisan rahsia hati. Dan senyuman itu tidaklah menyakitkan, tetapi menjadi penawar bagi hati yang terluka". Aku tersenyum sendirian. Lantas aku teringatkan sebuah lagu nasyid yang pernah kumpulanku jadikannya sebagai intro persembahan nasyid.

“Senyum umpama suria yang memancar cahaya. Senyumlah dari hati duniamu berseri. Senyum umpama titian dalam kehidupan. Ku tersenyum kau tersenyum, kemesraan menguntum.”

“Senyum kepada semua. Senyumanmu amatlah berharga. Senyum seperti Rasulullah. Dengan senyuman terjalinlah ikatan....”

0 comments:

Post a Comment