Pages

Subscribe:

Saturday, June 20, 2009

Bicara Tentang Cinta

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“Salahkah ku mendambakan seorang puteri? Dan pasti ku mengharap yang setia di sisi. Teman kala ku kedukaan. Memberikan daku cahaya. Sinari kehidupan.”
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Siapa yang tidak pernah bicarakan tentang cinta? Yakin. Lebih 98% akan berbicarakan mengenai fitrah manusia ini. Tidak dapat lari dari lumrah duniawi. Perkara yang membuatkan insan tidak jejak tanah tatkala memikirkannya. Perkara yang membuatkan insan terawang-awang di awangan. Tersenyum sendiri, biarpun hanya mengadap rak buku.

Pahit, manis, suka, dan duka telah dilalui. Ia mengajarkan kita mengerti dan menghargai kehidupan yang dimiliki sekaligus cuba memanfaatkannya. Suka ketika bersamanya, sukar tidak memilikinya. Agak lama aku tidak berbicara tentang cinta. Kali terakhir adalah pada tahun 2006. Tahun dua ijazah sarjana muda. Ketika baru menjengah ke dunia gerakan kampus. Namun…

“Macammana boleh putus?” soal rakanku.
“Biasalah, dia nak bercerita mengenai rama-rama, bunga, burung, kapal Titanic.” Jawab santaiku
“Habis, hang?” soalnya kembali.
“Aku lebih suka cerita pasai bintang, bulan, roket, keris, dacing.”
“Patutlah. Otak politik!” tawa berderai. Hanya tuhan yang tahu perasaan hati ini.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------“Walau ku tahu segala suratan Esa. Ku pohon kesetiaan Pemberi Inspirasi. Pengubat jiwa yang sepi agar dapat ku kecapi indahnya hidup ini.”
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pernahku ukirkan layaran jiwa ini di atas helaian kertas dengan tajuk “Tetamu Bernama Rindu”. Masih kemas dalam simpananku. Kini “Rindu Bertamu Lagi”. Pintu hatiku pernah diketuk oleh seorang insan yang bernama… ah, lupakan! Aku biarkan dia pergi. Biarkan ia menjadi “Rindu Yang Pergi”. Malas untuk ku lorekkan di atas kertas putih. Perkara sia-sia.

Tiga tahun berlalu. Aku dibiarkan tanpa sebarang berita. Mengapa ia hadir kembali aku tidak pasti. Biarlah aku lakarkan di atas lembaran ini dengan impian yang baru, agar rindu derita ini tidak lagi mengganggu mindaku yang mahu memikirkan perkara yang lebih penting dari ini. Fikr aulawiyat.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------“Sekali cinta pergi, tidak bermakna ia tidak akan datang lagi. Ia pasti akan datang kembali. Tapi kali ini adalah dari si dia yang lebih baik dari dulu. Mungkin dia yang dulu atau dia yang baru.”
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sekali melakar, biarkan ia ke noktah terakhir. Aku telah berjanji pada diri. Biarlah aku mencari bunga yang mampu menjadi pendorong di sebalik kejayaanku. Keindahan yang dikecapi nanti pasti lebih manis jika aku dan dia bersama memahami dan mengerti dengan mehnah dunia yang bakal ditempuhi tanpa disulami rasa iri hati atau enggan merelakan aku dengan matlamatku. Biarlah dia tidak seperti srikandi-srikandi islam sejati asalkan dia cuba mencontohi srikandi tersebut. Khadijah, Aisyah, Sumayyah, Masyitah, Rabiatul Adawiyah, dan lain-lain. Aku tidak terlalu mengharap kerana aku tahu hakikat hidup ini. Yang lepas biarkan berlalu.

Jiwa berbisik, pastikan diri ini mengatur sesuatu yang mampu memberi saham di akhirat nanti. Bukan perkara yang sia-sia. Pilihan atas dasar agama menjadi pilihan utama. Namun, tatkala aku memilih yang berpegang pada agama menjadi keutamaan, seringkali itu jugalah aku gagal untuk mencapainya. Mengapa? Dalam al-Quran telah mencatatkan, “Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik. Namun lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat.” Pada fikiranku memikirkan Tuhan sengaja membiarkan seketika agar aku berubah menjadi baik terlebih dulu sebelum memilikinya. Atau mungkin juga dia terlalu baik untukku yang membuatkan aku tidak layak memilikinya.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------“Tidak semestinya yang kita cintai itu adalah yang mesti kita miliki. Mungkin juga dia yang mesti kita lepaskan.”
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Aku perlukan masa untuk memikirkannya. Aku juga perlukan masa untuk berubah menjadi lelaki baik. Aku perlu meraih cintaNYA sebelum meraih cintanya. Biarlah aku mencintai DIA sebelum aku mencintai dia. Bicara Tentang Cinta. “Aku cintakan dia kerana DIA”. Wallah hu ‘alam….

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“Tika mata diuji manisnya senyuman
Terpamit rasa menyubur harapan
Terlontar ke dunia khayalan
Hingga terlupa singkat perjalanan

Bukan mudah bernafas dalam jiwa hamba
Dan ku cuba menghindarkan pesona maya
Kerana tak upaya ku hadapinya
Andai murkaNya menghukum leka”

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
---------------------------------------------------
p/s: Cerita ini hanya mainan minda di kala ku keboringan. Kemas-kemas bilik, terjumpa plak cerpen-cerpen jiwang yang dihasilkan waktu tingkatan empat. Tiada kaitan dengan diriku (^^,)v. maaf ye!

0 comments:

Post a Comment