Pages

Subscribe:

Sunday, July 25, 2010

Berhikmah Dalam Teguran

Indah sungguh panaroma di Pantai Merdeka, Kedah pada hari itu. Pelbagai gelagat yang boleh dilihat. Dari kejauhan kelihatan sebuah keluarga besar yang sedang menjalankan aktiviti ‘family day’ bersama anak-anak dan sanak saudara mereka. Tawa riang kanak-kanak berlari-lari berusaha menyempurnakan ‘misi’ yang telah diberikan kepada mereka. Beberapa kumpulan kecil begitu gigih bekerjasama dengan bekerja bersama-sama melakukan aktiviti itu. Prinsip berjemaah diaplikasikan oleh mereka. Perkara yang boleh dilakukan untuk menghilangkan tekanan kerja, tekanan rumahtangga, dan juga tekanan di sekolah. Sekali-sekala aku melemparkan pandanganku ke tepian pantai. Mengamati ombak yang sentiasa memukul pantai. Silih berganti datang dan pergi.

Tiit.. tiitt..

Telefon bimbitku berbunyi. Aku menyeluk saku untuk mengeluarkan telefon bimbit. Membuka kotak mesej untuk mengetahui siapa yang menghantar mesej dan membaca mesej yang dihantarnya.

“Orang yang bercita-cita tinggi adalah orang yang menganggap teguran keras baginya lebih lembut berbanding sanjungan merdu seorang pengampu yang berlebih-lebihan.”

Aku memandang ke arah insan yang berada di sebelahku. Sharhan namanya. Senyumnya dilemparkan dan terus memandang ke arah kanak-kanak tersebut. Seolah-olah tiada apa yang berlaku.

“Duduk bersebelahan pun nak hantar mesej?” kataku agak sinis setelah sekian lama menyepi. Senyumannya terus melebar setelah mendengar kata-kataku. Aku ketawa kecil melihat gelagatnya. “Apa pendapat kau mengenai mesej itu?” soalnya sambil matanya ligat memerhatikan aktiviti ‘family day’ tersebut. “Mesej kau?” bicaraku menceriakan lagi suasana. Selang-seli bicara dan tawa.

Kembali kepada perbincangan, “Pada aku. Dunia kita sekarang sudah ketandusan dua jenis manusia. Pertama, orang yang boleh menegur secara berhadapan. Dan kedua adalah orang yang boleh menerima teguran dengan hati terbuka.” Jelasku ringkas.

“Betul juga kata-kata kau. Kalau tegur secara berhadapan, nanti terasa pula individu yang ditegur. Disebabkan itulah kebanyakkan orang lebih suka untuk bercakap di belakang.” Perbincangan telah bermula. Kata Sharhan mengiyakan kata-kataku.

Aku terus berbicara, “Bercakap belakang lebih memeritkan sebab kita tidak tahu apa yang diperkatakannya pada orang lain. Mungkin berkata benar, mungkin juga tidak. Di hadapan kita lain katanya, di belakang pula sebaliknya. Dan akhirnya wujudlah satu kelompok yang banyak sifat syak wasangka dan berfikiran negatif. Tiada lagi sifat husnul zhon, bersangka baik. Tiada lagi perubahan yang dapat dilakukan.”

“Mungkin ketika kita hendak melakukan sesuatu perubahan, maka ada individu yang ‘berkata belakang’ ini akan mengatakan teguran kita adalah suatu yang negatif yang bertujuan untuk menjatuhkannya dan mesti dihalang. Caranya dengan menaikkan kebaikkannya serta menyatakan keburukkan pihak yang menegur. Kita tidak sedar, teguran secara berhadapan yang kita sangkakan menyakitkan itulah lebih berguna bagi kita untuk melakukan satu perubahan dalam hidup.” Sharhan terus melemparkan pendapatnya. Sharhan sedang memberi syarahan.

“Pengampu kuat, kerja tidak buat!” jeritku ke arah pantai. Sharhan hanya ketawa melihat gelagatku. Kanak-kanak tersebut terhenti seketika sambil melontarkan pandangan mereka ke arah kami. Kemudian mereka kembali meneruskan aktiviti mereka.

“Mungkin dia merasa dia hebat.” Kataku selang beberapa saat. “Orang lain membuat kebaikkan, dia yang mendapat nama.” huraian Sharhan membuatkan aku untuk terus mencari hujah.

“Bagaimana pula dengan orang yang boleh menerima teguran dengan hati terbuka?” soalku. Bahagian kedua dari mesej yang dihantarnya kepadaku.

“Mungkin orang yang ditegur itu merasa dia hebat dan tidak boleh ditegur.” Suasana sepi seketika. “Bukankah kau sendiri pernah lalui situasi seperti ini?” soal Sharhan dan berpaling ke arahku. “Kau mengasingkan diri, menghilang entah ke mana. Kemudian muncul kembali dengan ‘penerimaan’ yang baru.” Aku pandang wajahnya. “Aku marah apabila ada orang lain yang menegur aku.” Kataku sambil tersenyum. Hanya tawa kecil yang mampu ku lepaskan sambil diiringi dengan keluhan perlahan. “Kau tegur orang lain, boleh pula. Orang lain mahu tegur kau, hilang mengasing diri.” katanya. Aku sedar aku yang bersalah pada waktu itu. Mujurlah aku sempat menemui beberapa hadis nabi dan ayat-ayat suci al-Quran yang memberi pilihan kepadaku samada aku ingin terus marah atau sabar. “Marah itu daripada Syaitan, Syaitan itu daripada api, api boleh dipadamkan dengan air, maka apabila kamu marah, berwudhuklah.” (Hadis riwayat Al-Imam Ahmad).

Sabda Nabi SAW, “Apabila kamu marah, maka jauhilah orang yang kamu marahi, berubahlah dari tempat kamu berdiri ketika marah. Jika kamu marah dalam keadaan berdiri, hendaklah kamu duduk. Jika kamu marah dalam keadaan duduk,hendaklah kamu berdiri.”

“Dan Allah mencintai orang yang sabar.” (Ali-Imran: 146). “Sesungguhnya Allah bersama-sama mereka yang sabar.” (Al-Baqarah: 153)

Aku kembali bersuara, “Perlu dilihat juga pada individu yang menegur. Kalau orang yang menegur itu dalam keadaan marah dan bersuara lantang tanpa menghiraukan perasaan orang lain, tanpa menghiraukan pandangan orang lain, itulah yang akan menyebabkan orang yang ditegurnya mula memberontak.” Pintasku membela diri.

“Ada beza antara TEGAS dan MARAH?” soalnya lagi. Kali ini sasarannya adalah aku, individu yang ‘pernah’ ditegur dan ‘pernah’ tidak boleh menerima teguran dengan hati terbuka. “Kalau TEGAS, aku masih lagi boleh menerima. Asalkan dengan teguran BERHIKMAH!” sengaja ditekankan pada perkataan ‘berhikmah’ untuk menggambarkan bahawa semua masalah boleh diselesaikan dengan ‘pendekatan berhikmah’.

“Bermakna ketandusan dua jenis manusia ini masih lagi boleh disuburkan.” Sharhan terus berbicara. “Bagaimana?” soalku lagi.

“Pertama, orang yang boleh menegur secara berhadapan. Dia perlu mempunyai keberanian untuk menyatakan kebenaran. Jangan sesekali berkata-kata di belakang. Depan kata lain, belakang lain pula katanya.” Bicara Sharhan terhenti seketika. “Apabila kebenaran itu terlalu pahit untuk dinyatakan, maka ia akan diterjemahkan melalui pembohongan. Sebab itulah seseorang itu di hadapan kita dipuji, di belakang kita dikeji.“ jelas Sharhan.

Sambungnya lagi, “Kedua, orang yang boleh menerima teguran dengan hati terbuka. Orang yang menegur perlu bertegas dan bukannya berkeras. Manakala orang yang ditegur pula hendaklah bersangka baik dan bukannya bersyak wasangka.”

Anggukku perlahan tanda faham dengan huraiannya, “Walau apa pun hujahnya. Walau apa pun alasannya. Jawabannya tetap ada pada akal yang ligat berfikir dan hati yang sarat berzikir.” Konklusi ringkas aku berikan.

Seketika kemudian, kami berdua terkejut dengan larian kanak-kanak yang melintasi hadapan kami. Misi mereka pada kali ini adalah mencari plastik yang berwarna hijau dan kumpulkannya di kawasan aktiviti mereka. Kumpulan yang dapat mengumpulkan plastik hijau terbanyak akan dikira sebagai pemenang. Dalam hatiku terfikir, ada kebaikkan juga aktiviti ini dijalankan. Menggalakkan budaya menjaga persekitaran dari sampah sarap ke dalam jiwa kanak-kanak. Lebih baik jika plastik yang dikumpul itu tidak berpandukan warnanya. Asal sahaja plastik, semuanya dikumpul. Itu lebih baik.

“Kawasan kita telah diserang. Mari kita ke kawasan lain.” Kataku sambil berdiri. Tawa masih lagi menjadi selingan di dalam setiap perbicaraan kami. Lalu kami berdua bergerak ke tempat yang jauh sedikit dari aktiviti kanak-kanak itu. Topik perbincangan telahpun berubah. Namun, di hati masing-masing mengharapkan perubahan yang masih lagi boleh diubah di dalam diri masyarakat kita khususnya warga yang berada di dalam organisasi dan rakyat Malaysia amnya. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

1 comments:

Putry Amouy said...

JOIN NOW !!!
Dan Dapatkan Bonus yang menggiurkan dari dewalotto.club
Dengan Modal 20.000 anda dapat bermain banyak Games 1 ID
BURUAN DAFTAR!
dewa-lotto.name

Post a Comment