Pages

Subscribe:

Sunday, June 13, 2010

Cebisan Ilmu, Cabaran Amal


“Assalammu’alaikum”. Sapaan seseorang dari luar rumah membuatkan aku bingkas bangun meninggalkan kerjaku seketika, menjenguk melalui tingkap rumah untuk melihat siapa yang berada di luar. Kelihatan Naim Naufal berada di luar pintu pagar. Seketika kemudian, terdengar pula laungan ibuku memanggil namaku. Kehadiran teman seperjuangan.

“Wa’alaikummussalam” Jawabku lalu pintu rumah dibuka lebih luas untuk menjemput kehadiran tetamu itu. Naim Naufal masih lagi berada di atas motosikal Honda EX5 miliknya. Aku menjemputnya masuk ke dalam rumah.
‘Tetamu datang membawa berkat, pulangnya menghapus dosa’.

Aku membawa Naim ke bilikku. Kebiasaannya anak muda lebih selesa berada di dalam bilik atau di luar rumah berbanding di ruang tamu. Terasa terlalu formal apabila berada di ruang tamu. Langkah kakinya terhenti apabila menjejakkan kakinya ke bilikku.

“Wah! Ini perpustakaan ke bilik?” Soalnya kehairanan tatkala melihat almari buku di sudut kiri bilikku. Sarat dengan buku. Baik buku akademik, novel, komik, bacaan umum atau apa sahaja jenis buku tersusun kemas di dalam almari. Balasku santai, “Di sini adalah perpustakaan dalam bilik”. Ku ukirkan senyuman lalu tawa kecil kami berdua kedengaran. Aku kembali dengan kerjaku.

Laju langkahnya menuju ke almari buku. Tangannya menggapai sebuah buku yang ada di almari itu sambil membelek-beleknya. Kemudian diletakkannya semula dan mencapai pula sebuah buku yang lain untuk ditatap isi dalamannya. Dua tiga buku dicapainya dan kembali duduk di sisiku. Buku ‘Di mana DIA di hatiku’, ‘Langit Ilahi’, dan ‘Aku terima nikahnya’ berada di ribaannya. Diselak satu persatu. Ianya bukan novel, sebaliknya kesemua itu adalah buku yang merupakan gabungan titipan kisah dan bingkisan cerita oleh penulisnya. Satu buku yang mempunyai banyak kisah-kisah pendek. Banyak lontaran pandangan, sarat dengan tindakan.

“Aku peliklah.” bicara Naim Naufal membuatkan aku berhenti menaip. “Apa yang peliknya?” soalku kembali. “Bagaimana penulis buku ini boleh mendapat banyak ilham untuk menulis? Tebal pula bukunya”. Aku tersenyum memandang wajahnya. Jawapan kepada persoalan itu telahpun aku aplikasikan ke dalam setiap penulisanku.

“Kenapa senyum?” soalnya kembali. Pelik dengan sikapku yang sering tersenyum ketika diajukan soalan. “Kalau aku beritahu jawabannya, mungkin kau akan terkejut. Sebabnya kau tidak akan menyangka yang kita lalui selama ini, ada manfaatnya bagi orang seperti aku. Juga bagi seorang penulis. Cumanya ia tidak diaplikasikan oleh sebahagian penulis.” Balasku sambil jari jemariku ligat menaip papan kekunci komputer. Dalam proses menghasilkan ‘cerita baru’ untuk tatapan rakan-rakan alam mayaku. Sekilas pandang dahinya berkerut. Mungkin sedang memikirkan ‘perkara yang dilalui’ seperti yang aku maksudkan.

“Apa yang kita lalui?” soalnya padaku. Matanya sedang memerhati aku sedangkan jarinya menyelak helaian demi helaian tanpa matanya tertumpu ke arah buku tersebut.

Aku renung wajahnya sebelum melontarkan jawaban. Aku kembali menatap paparan komputer sambil menjawab persoalannya. “Pengalaman. Kita sering terlupa, pengalaman adalah guru terbaik bagi kita. Bukan pengalaman kita sahaja, pengalaman orang lain juga boleh diaplikasikan ke dalam setiap penulisan kita. Dan pengalaman itu dapat dikongsi melalui usrah. ‘Pengalaman’ dan ‘usrah’, dua perkara yang sedang kita lalui. Pernah terfikir?” Terhenti seketika dari menaip. Merenung kembali wajahnya. Melihat reaksi seterusnya.

“Dari ‘pengalaman’, aku boleh faham. Bagaimana dengan usrah boleh memainkan peranan dalam mencari ilham?” Bukannya Naim tidak biasa berusrah, cumanya soalan yang dilontarkan oleh Naim ini adalah bersifat untuk mencari kefahaman yang jelas.

“Kebiasaannya setiap hujung minggu, kita akan berkumpul bersama. Kemudian kita akan bincangkan mengikut ‘silibus’ yang telah kita tetapkan sendiri.” Aku berhenti seketika untuk menyusun ayat supaya apa yang disampaikan kepada Naim akan dapat difahaminya dengan jelas.

Aku kembali bersuara, “Sebagai contoh, kita biasa memulakan usrah dengan membaca surah Al-Fatihah. Kemudian, kita akan membaca Al-Quran beserta tafsirnya. Disambung pula dengan ‘Hadis 40’. Kita juga membincangkan sebahagian tajuk di dalam buku ‘Fikh Harakah’ dan ‘ Bahtera Penyelamat’. Selepas itu kita akan bincangkan pula isu-isu semasa yang berlaku di dalam Malaysia.” Sengaja aku berhenti di situ. Tidak mahu perbincangan berlaku satu hala.

“Daripada semua itu, digabungkan menjadi satu cerita?” Soalnya mencari maksud yang cuba aku sampaikan. “Bukan semua, cuma sebahagian.” Jawabku ringkas kembali menyambung, “Berapa banyak ayat-ayat Quran dan Hadis yang kita dapat dengar setiap kali kita berusrah? Dari satu ayat Al-Quran atau satu Hadis sahaja sudah cukup untuk dihuraikan menjadi satu cerita. Gabungkannya dengan pengalaman yang kita ada. Itulah jawabannya.” Panjang penjelasanku. Naim mengangguk perlahan. Keluhannya jelas kedengaran biarpun perlahan.

“Tetapi apabila disebut mengenai usrah ataupun halaqah, ramai yang akan lari untuk menghadiri. Pelbagai alasan pula yang akan diberikan oleh da’ie-da’ie muda ini. Bagaimana usrah nak berjalan lancar kalau begini sikap kita.” Keluhan perlahan membuatkan aku mengerti akan perasaannya.

Kebanyakkan dari kita selalu berkobar-kobar dalam memperkatakan sesuatu, tetapi jauh sekali untuk melaksanakannya. Tahu berkata-kata, tetapi tidak mahu melaksanakannya. Tidak hairanlah orang lain tidak mahu mendengar kata-kata kita jika kita sendiri pun tidak mahu melaksanakan tugas ‘mendengar’ kata-kata orang lain. Usrah pun tidak mahu hadir, kemudian mahu orang lain menghadiri usrah kita. Pelik bunyinya. Inilah yang dikatakan ilmu yang sedikit, teramat sukar untuk melaksanakannya. Sekalipun ia dilaksanakan, ia tidak mampu untuk dilakukan secara berterusan. Aku mengeluh sendirian. Cebisan ilmu, Cabaran amal.


“Wahai orang-orang yang beriman, mengapakah kamu memperkatakan apa yang tidak kamu kerjakan? Maka, besarlah kemurkaan di sisi Allah bagi kamu memperkatakan apa yang tidak kamu kerjakan” (As-Saff: 2-3).

0 comments:

Post a Comment