Pages

Subscribe:

Wednesday, July 8, 2009

‘Nur Kasih’ Detik Permulaan


‘Nur Kasih’. Sebuah drama bersiri yang disiarkan pada setiap Jumaat hasil arahan Kabir Bhatiar ini lebih terarah dan lebih Islamik jika dibandingkan dengan drama-drama buatan Malaysia yang lain. Sebuah drama yang diberi tajuk ‘Nur Kasih’ dengan dibarisi pelakon-pelakon yang rata-ratanya muka baru di dalam dunia lakonan seperti Tiz Zaqyah, Remy Ishak, Ummi Nazeera dengan dibantu oleh pelakon lama Datuk Jalaluddin Hassan , Fizz Fairuz, Sharifah Sofia, dan Liza Othman. Berlatarkan lagu single pertama nyayian Yasin yang bertajuk ‘Nur Kasih’ mampu memberikan gambaran kepada kita semua erti sebuah pengorbanan seorang lelaki yang sedang mencari-cari erti sebenar sebuah pengorbanan biarpun dirinya berasal dari keluarga yang berpendidikan agama. Ayahnya seorang ustaz dan abangnya pelajar lepasan Mesir sedangkan dirinya tidak mengenal ayat-ayat al-Quran.


Biarpun ada beberapa babak yang tidak sepatutnya berlaku di dalam keluarga ‘Ustaz’ ini seperti tindak tanduk dan penampilan cara berpakaian, pergaulan serta percakapan namun penghasilan cerita ini harus diberi sokongan kerana kewujudannya boleh dianggap sebagai tunas permulaan drama-drama islamik dan seterusnya terwujudnya pula pengarah filem dengan filem yang sedemikian rupa.


Bayangan ‘Ketika Cinta Bertasbih’. Ini yang dikatakan oleh hatiku yang kini menjadi pengikut setia setiap episod drama ini. Sengaja dipersoalkan jalan cerita drama ini kepada beberapa orang sahabatku melalui sistem pesanan ringkas. Persoalan berkisarkan “mengapa, mengapa dan mengapa”. Pelbagai tafiran yang diterima yang rata-ratanya menyatakan drama ini seperti permulaan filem “Ayat-ayat Cinta” dari Indonesia. Masing-masing berdebat dan memberi pandangan dari pelbagai dimensi mengenai mengapa Nur Amina (Tiz Zaqyah) dikahwinkan dengan Adam (Remy) sedangkan si abang Adam iaitu Aidil (Fizz) yang lebih layak untuk memperisterikan wanita itu berdasarkan pada ‘sekufu’nya. Banyak pandangan bersifat peribadi diterima.


Drama ini hanya mempunyai 26 episod dan minggu ini adalah episod ke-6 telah ditayangkan. Secara peribadi saya ucapkan tahniah kepada Syarikat ‘Filmscape’ kerana mampu menghasilkan cerita yang sedikian rupa dengan berharap agar drama-drama sebegini diberi ruang untuk disiarkan di kaca televisyen. Biarpun saya tahu ada beberapa sahabat sahabiah yang langsung tidak bersetuju dengan pandangan saya ini dan ada juga yang minta saya hentikan menonton drama yang dikatakannya sebagai ‘Lagho’ ini. Wallah hu ‘Alam.


Jika Habiburrahman El Shirazy bermula dari penghasilan novel sebelum ianya difilemkan, drama ini juga bermula dengan novel hasil tulisan insan seni yang bernama Mira Mustaffa dan ianya difilemkan serta mendapat sentuhan dari pengarah terkenal Kabir Bhatiar. Jika filem ‘Ketika Cinta Bertasbih’ menjalani penggambarannya di Mesir, begitu juga drama ini yang turut memuatkan penggambarannya di Sydney dan Jeddah.


Nur Kasih | Lewat ini ku rasakan | Kasih kian ku dambakan | Resah hati yang ku pendam | Pada takdir dan harapan | Detik waktu dan suratan | Siapa tahu ketentuan | Ku mencari cahayanya | Dalam bayang kegelapan | Nur kasih | Nur kasih | Nasib hidup dan pilihan | Lain hukum setiap insan | Mengharapkan perjalanan | Dalam maya kesamaran | Nur nur ya nur kasih | Nur ya nur kasih | Nur nur kasih | Nur kasih.


Saya begitu teruja membaca komen-komen dari penonton mengenai drama ini. Antara komennya yang berbunyi “TV3 patut siarkan cerita macam ini daripada cerita hantu seperti keliwon yang menyimpang akidah dan mengajar orang black magic”. Begitu juga dengan komen dari insan yang menggunakan nama samaran sebagai ‘Noonokun’ yang memberikan pandangannya seperti “Alhamdulillah, sekarang semakin banyak cerita yang berunsurkan islamik. Harap lebih islamik. Betul garis panduannya, tiada adegan berpegangan tangan antara lelaki dan perempuan. Gud luck! saya suka cerita nie. Alangkah elok jika pelakon seperti wataknya yang berpegang teguh pada agama. InsyaAllah. Sama-sama berusaha ke arah itu”.


Jauh di sudut hatiku mendoakan agar pelakon utama di dalam drama ini akan membawa wataknya keluar dari drama tersebut dan bukannya hanya berakhir di dalam drama ini sahaja dan seterusnya mendoakan agar dakwah mampu mencipta tapak penyebarannya di bidang perfileman pula. Tiada yang mustahil bagi yang berkehendak untuk melakukannya. Sekian.


0 comments:

Post a Comment