Pages

Subscribe:

Saturday, January 8, 2011

Pencipta Cinta


Angin bayu menghembuskan bisikannya ke seluruh pelusuk kawasan peranginan itu. Sungai Sedim, kawasan yang terletak di Selatan Kedah, tidak pernah lekang dari gelagat manusia, terutamanya bagi anak remaja. Jauh di pinggir sungai itu, kelihatan dua insan yang sedang asyik memerhatikan lambaian pepohon menghijau di hadapan mereka.

“Kenapa Hafizi tidak pilih muslimah tu?” Sekian lama sepi, soalan kembali menjengah diri. Ahmad Rizal, senior rapat Hafizi sewaktu bersama-sama di kampus dan organisasi kampus. Hafizi selesa memanggil Rizal dengan panggilan ‘Abang Rizal’ memandangkan Rizal lebih berusia dari Hafizi. Ditambah pula Rizal sudah berumah tangga dan dikurniakan dua cahaya mata.

“Hikmah orang tua perlu berada dalam semangat orang muda”. Itulah cebisan mutiara kata yang pernah diungkap oleh Umar Tilmisani dan Itulah yang cuba diaplikasikan Hafizi ke dalam kehidupannya. Abang Rizal adalah tempat pertama menjadi rujukan Hafizi seandainya ada masalah yang bertamu, terutamanya masalah berkenaan hati dan perasaan.

Sudah pasti, Hafizi bertemu dengan Abang Rizal tentunya ada persoalan hati dan perasaan yang masih belum terungkai, yang masih berselirat di dalam pemikiran Hafizi. Kala ini, tiada insan lain yang boleh dikongsi masalah itu lantas Hafizi mencari Abang Rizal untuk melepaskan keluhan perasaannya.

Persoalan ‘Kenapa tidak pilih muslimah tu’ direnung dalam-dalam. Pasti pelik mengapa tidak memilih insan berstatus ‘Muslimah’ itu sedangkan insan itu banyak persamaannya dengan Hafizi. Boleh menghasilkan cerpen, mempunyai blog sendiri, mahir mengadaptasikan gambar menggunakan perisian Adobe Photoshop, meminati pula bidang nasyid. Kesemuanya juga adalah kepakaran dan kemahiran bagi Hafizi. Begitu sekufunya ‘Muslimah’ itu dengan Hafizi kerana ‘Persekufuan biasanya menjadi asas pemilihan’. Tetapi mengapa tidak dipilih ‘Muslimah’ itu tetap menjadi tanda tanya. Mengapa? Kenapa? Sebab apa? Pasti ada sebabnya. Tetapi apakah jawabannya? Persoalan itu kembali hadir. Hafizi buntu. Persoalan berkenaan hati dan perasaan. Sepi. Hafizi senyap. Soalan itu tidak dijawab.

“Dah ada pilihan sendiri?” soalan Abang Rizal kembali.

Hafizi mengangguk. Tanpa suara.

“Ada masalah dengan orang yang Hafizi pilih sekarang?” tanpa jemu soalannya bertamu.

“Dia lemah emosi.” Hafizi mula bersuara. “Dia sukar untuk menerima takdir. Dia tidak mahu berpijak di bumi nyata. Terlalu mudah menitiskan air mata. Setiap ujian yang melanda, terlalu mudah dia menyalahkan takdir.” Keluhan Hafizi kuat kedengaran. Bagaikan satu beban berat yang sedang menghempap dadanya. Sukar untuk bebas bernafas. Seolah-olah perjalanannya terlalu sukar untuk diteruskan dan tiada pula jalan berpatah balik. Tangan kiri Hafizi diraup ke muka sendiri. Menenangkan wajahnya yang tampak jelas gelisah.

“Dah cuba bimbing dia?” Abang Rizal kembali menyoal. Hafizi seakan-akan cuba menyusun jawaban. Jawaban yang ada padanya terlalu abstrak. Tidak tahu dari bahagian mana yang perlu diluahkan terlebih dahulu.

“Sudah. Seperti yang saya cakap tadi. Dia tidak mahu berpijak di bumi nyata.” Luah Hafizi perlahan-lahan. Cuba menenangkan jiwanya sendiri. Hebat bergelora. Mindanya juga berkecamuk.
“Maksudnya?”

“Dia hanya ingin yang bahagia. Tetapi apabila ada dugaan ataupun ujian, dia tak mahu terima dengan hati terbuka. Katanya dia memang ditakdirkan untuk hidup derita. Sedangkan dia sendiri boleh cuba untuk berfikiran positif. Boleh hadapi dengan tenang.” Luah Hafizi panjang lebar.

“Fahamkan dulu dia dengan dugaan, Hafizi. Hidup di dunia mesti ada dugaan.” Bicara Abang Rizal penuh simpati. Ibarat Abang yang cuba menenangkan hati si adik.

“Sudah. Dia ambil yang negatif.” Keluhan Hafizi membuktikan yang dia memang berada dalam tekanan sekarang ini.

“Dah minta putuskan hubungan dengan dia?” Cadang Abang Rizal. Mungkin jalan keluar terakhir yang ada.

“Sudah. Dia tak mahu kehilangan saya dan dia pernah mencederakan dirinya.” Hafizi menghulurkan kepada Abang Rizal telefon bimbitnya yang terpapar sekeping gambar. Gambar tangan yang ditoreh dengan benda tajam. “Saya buntu dengan dia.” Keluh Hafizi.

Astaqfirullah hal ‘azim, lemah sungguh iman dia. Memang betul-betul lemah.” Abang Rizal buntu. Mengapa perlu menoreh tangan sendiri untuk membuktikan cinta? Kini, seolah-olah semua jalan penyelesaian telah tertutup rapat.

Tidak! Pasti ada jalannya. Cuma jalannya masih belum terbentang kemas. Semak samun di sepanjang jalan penyelesaian itu perlu ditebas supaya jalannya lebih jelas dan luas. Bisik hati Abang Rizal.

“Bagaimana dengan Istiqarah?” Soal Abang Rizal lagi. Memberi cadangan penyelesaian. Jalan yang seterusnya.

Hafizi memandang wajah Abang Rizal.

“Bukankah sebelum ini Hafizi pernah buat?” bicara Abang Rizal sekali lagi mengingatkan Hafizi.

“Memang. Tapi itu untuk pilihan sebelum dia yang saya pilih sekarang.” Hafizi mengakui. Dia pernah beristiqarah sebelum ini.

“Kemudian?”

“Jawaban yang sebaliknya. Dia semakin lama semakin jauh dari saya. Dan saya putuskan untuk jauh daripada dia. Mungkin dia bukan untuk saya.” Balas Hafizi.

“Yang pilihan sekarang?” Sambung Abang Rizal lagi.

Sekali lagi Hafizi memandang wajah Abang Rizal. Kemudian dialihkan pandangannya ke arah air sungai yang menuruti laluan itu.

Hafizi menggeleng. Jawaban dalam bentuk tindakan. Untuk pilihan kali ini, Hafizi tidak melakukan solat Istiqarah untuk mempertimbangkan keputusan pilihannya.

“Kenapa?”

“Saya sayangkan dia. Saya juga cintakan dia. Saya tak mahu kehilangan dia.” Jelas Hafizi. Jujur terbit dari hatinya.

“Nampaknya Hafizi sudah melebihkan cinta dia daripada cinta Allah pada kita.” Jawab Abang Rizal. Seolah-olah dia sudah tahu punca permasalahan ini.

Hafizi terkesan dengan kata-kata itu. Dia tertunduk malu. Malu rasanya untuk menatap wajah Abang Rizal yang berada di sisinya. Apatah lagi mengadap Allah yang Maha Pemurahnya Dia pada kita. Hafizi malu. Sepi tanpa kata.

“Saya takut. Saya takut kalau petunjuk yang saya dapat nanti adalah dia tidak sesuai dengan saya. Nanti saya akan kecewa lagi.” Jawab Hafizi lemah.

Abang Rizal menggeleng kepala, “Hafizi mengikut nafsu. Kalau Hafizi mengikut iman, Hafizi akan redha dengan ketentuanNya. Hafizi tahu kan maksud doa Istiqarah, kalau dia yang kita pilih itu tidak baik untuk kita? Apa yang kita akan rasa nanti?” Sambung bicara Abang Rizal. Direnung wajah Hafizi.

Hafizi mula mengingati doa istiqarah. Perlahan-lahan dia membaca perenggan terakhir doa itu.

Dan jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk untukku, dalam agamaku, penghidupanku dan akibat pekerjaanku dalam masa yang dekat atau lambat, maka palingkanlah dia daripadaku dan palingkanlah aku daripadanya. Dan takdirkanlah kebajikan untukku di mana ia berada, kemudian berilah hatiku meredhainya.” Hafizi tunduk lemah.

“Berilah hatiku meredhainya.” Abang Rizal mengulangi ayat terakhir doa tersebut. “Berilah hatiku meredhainya. Hafizi tidak redha dengan ketentuan Ilahi?” soalan itu dilontarkan kepada Hafizi. Hafizi kelu.

“Tapi saya terlalu sayangkan dia.” Balas Hafizi.

"...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu. Allah jualah yang mengetahui, sedang kamu tidak mengetahuinya." Abang Rizal membaca ayat 216 dari Surah al-Baqarah kepada Hafizi. Hafizi mengangguk-angguk. Terlalu fasih dia dengan ayat tersebut. Acap kali juga dia mendengarnya. Kali ini dia mendengar lagi ayat itu.

“Hafizi sayangkan dia, dan Allah sayangkan Hafizi.” Sambung Abang Rizal sekali lagi. Hafizi masih lagi kelu.

“Untuk diberikan sesuatu yang terbaik, orang itu perlulah mempunyai jiwa yang terbaik, pengorbanan yang terbaik, usaha yang terbaik. Dan yang terbaik itu adalah terbaik pada kadar yang ada pada kita. Kita usaha lebih, kita akan dapat lebih. Itu hukum alam.” Santun bicara Abang Rizal. Sungguh mendamaikan. Dia mampu menjinakkan perasaan hati yang bergelora. Hafizi kini kelihatan lebih tenang.

“Jangan sombong dengan takdir Tuhan. Apa yang dia aturkan, itulah yang terbaik untuk kita. Kita cuma perlu terus mencari.” Terhenti seketika. Kemudian Abang Rizal menyambung kembali, “Bukannya mudah untuk mencari, kan? Perlukan pengorbanan yang tinggi.”

Suasana diam seketika.

Hafizi mencari cinta. Cinta itu dicipta oleh Allah. Kenapa Hafizi mahu menolak ketentuan Allah? Hafizi takut kehilangan dia sampai sanggup tidak mahu serahkan semua urusan pada Allah? Dengan Solat Istiqarah, Solat Hajat, berdoa. Kenapa Hafizi tolak suatu keputusan terbaik yang Allah telah simpan untuk Hafizi?” Abang Rizal mengeluh. Mungkin kecewa.

Hafizi terus menunduk. Memang itu kesilapannya. Mengenepikan keputusan Pencipta Cinta dengan melebihkan keputusan hatinya. Sungguh! Hafizi hanya seorang hamba yang lemah. Dia tidak berupaya mencipta cinta untuknya apatah lagi mencipta cintanya sendiri.

“Hafizi kata dia tidak dapat terima kenyataan, dia tidak mahu berpijak di bumi nyata. Hafizi terlebih dahulu perlu terima kenyataan, berpijak di bumi nyata. Belajar rela untuk meredhai.

"Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana) maka ia adalah disebabkan oleh apa yang kamu lakukan (perbuatan salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian daripada dosa kamu." (Asy-Syura: ayat 30)

Suasana kembali diam.

“Jumpa jalan penyelesaian?” soal Abang Rizal sekali lagi setelah sekian lama sepi. Begitulah Abang Rizal, ibarat pakar kaunseling. Disediakan pelbagai jalan penyelesaian, atas kemahuan kita pula untuk memilih jalan penyelesaian itu ataupun tidak. Hafizi tidak berganjak dari memerhati pepohonan yang sentiasa melambai. Mencari ketenangan di celah-celah lambaian pepohonan itu.

“Biarlah saya Solat Hajat dan Solat Istiqarah dulu.” Balas Hafizi merendahkan egonya sendiri. Masih lagi memerhati pohon tersebut.

“Tenangkan jiwa dulu. Tenangkan fikiran. Abang tahu Hafizi dalam keadaan buntu sekarang ini. Ada banyak jalan keluar di depan Hafizi sekali pun, semuanya akan kelihatan kabur. Adakalanya jalan penyelesaian itu sudahpun terbentang di depan mata, tetapi kita tidak kelihatan. Sebabnya? Kita dalam keadaan buntu, Minda pun berserabut. Jadi, Berpijak di bumi nyata. Berfikir dengan relevan.” Bagaikan satu lontaran semangat yang di serapkan oleh Abang Rizal kepada Hafizi.
Hafizi kembali tenang. Sungguh! Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.

“Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (al-Ra`d:28)

“Ingat doa Istiqarah kalau dia baik untuk kita?” Abang Rizal kembali bersuara.

“Ingat.” Hafizi membacakan satu demi satu ayat istiqarah tersebut, “Wahai Tuhanku. Jika engkau mengetahui bahawa urusan ini baik untukku, dalam agamaku, penghidupanku dan akibat pekerjaanku dalam masa yang dekat atau lambat. Maka takdirkanlah dia untukku dan permudahkanlah, kemudian berikan berkat padanya.” Jelas butir perkataannya.

“Kalau dia yang saya pilih ini memang terbaik untuk saya, macam mana?” soal Hafizi ragu.

“Takdirkanlah dia untukku dan permudahkanlah, kemudian berikan berkat padanya. Itu doa istiqarah jika dia terbaik untuk Hafizi kan?” berhikmah sungguh Abang Rizal di hadapannya itu. Kata-kata sungguh mendamaikan. Tidak terus menunding jari menunjukkan dia memang bersalah sebaliknya dikiaskannya terlebih dahulu kesalahan itu dan disertakan bersama jalan penyelesaian. Hafizi mengangguk.

“Sabarlah mendidik dia. Dia insan yang lemah. Tidak ada sesiapa yang mahu tarbiyyah dia. Orang yang masih belum ditarbiyyah, memang susah untuk terima hakikat dan memang sukar untuk memahami dugaan dunia. Fahamkan dia. Sebelum itu, Hafizi fahamkan diri Hafizi terlebih dahulu sebelum mahu memahamkan dia.”

“Tiada tindakan yang hebat melainkan tindakan itu – SABAR.” Bicara Hafizi merealitikan dirinya sendiri.

Lantas dia mengingati sebaik-baiknya pesanan Abang Rizal sebelum dia berlalu pergi dari situ. Kesemuanya ada kaitannya dengan sabar.

“Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu apabila kesusahan menimpa, mereka berkata; sesungguhnya kami ini milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nya kami akan kembali.” (al-Baqarah: 155-156)

“Hai orang beriman. Berlaku sabarlah. Sabarkan dan perteguhkan kekuatanmu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh kebahagiaan.” (ali-Imran: 200)


“Sesungguhnya kami akan beri percubaan kepada kamu, sehingga kami buktikan orang yang bersungguh-sungguh dari antara kamu dan orang yang sabar dan hingga kami nyatakan hal kamu.” (Muhammad: 31)

Hafizi kini menyerahkan urusan cintanya kepada Pencipta Cinta yakni Allah s.w.t. Dan dia juga perlu belajar rela untuk redha.

0 comments:

Post a Comment