Pages

Subscribe:

Monday, October 4, 2010

Nilai Akhlak Insani

“Woi! Kenapa bengong sangat kau ni?” Tamparan keras dilemparkan ke arah bahu temannya.

“Buat kerja gunalah kepala otak! Jangan guna kepala lutut!” bentaknya lagi. Kali ini kotak kosong kecil yang ada di sisinya ditendang ke arah temannya.

“Guna kotak ni. Tak pernah orang buat kerja guna kotak sebesar televisyen untuk simpan benda alah tu.” Katanya begitu lantang sehingga kedengaran satu bilik.

Semua orang sudah memandang ke arah mereka berdua. Bukannya marah, cuma dirinya sudah terbiasa dengan kelakuan tersebut. Bersuara lantang sehingga mampu didengari oleh semua orang. Tindakan yang sememangnya memalukan orang lain yang berada di sampingnya. Perbuatan yang tidak menggambarkan seorang berbangsa Melayu yang penuh dengan adab kesopanan. Juga tiada gambaran seorang Muslim yang berakhlak muliajiwanya.

Hati kecil temannya itu berbisik, ‘Jagalah akhlak wahai temanku’. Bisikan itu benar-benar menggambarkan bahawa dirinya sudah berkecil hati dengan akhlak temannya.

Akhlak! Ya! Akhlak! Akhlak sungguh berkaitan dengan adab. Akhlak yang indah membuatkan segala kerja menjadi mudah. Akhlak yang mulia juga akan membuatkan orang lain percaya. Percaya dengan dirinya, percaya dengan tindakannya, sekaligus menggarapkan keyakinan yang menyeluruh kepada insan yang mempunyai jiwa berakhlak ini.

Seorang Rasul begitu mudah diterima oleh orang ramai kerana akhlaknya. Seorang Rasul begitu dipercayai kerana mulianya akhlaknya. Seorang Rasul yang diyakini kerana begitu indahnya akhlaknya. Dakwahnya sungguh terkesan kerana lisannya sentiasa dibandingi dengan perbuatan oleh setiap insan. Sebab itulah Allah s.w.t menurunkan ayat kedua dalam surah Ash-Saff dalam bentuk persoalan. Ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya kata-kata yang diiringi dengan perbuatan. Akhlak akan memancing kepercayaan.

“Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak kerjakan?” (Ash-Saff : 2)

Bagi orang yang berkata-kata dan dirinya begitu teliti tentang akhlak, pasti dia mudah untuk dipercayai. Inilah resminya. Bagaimana dengan kita? Siapa kita?

“Alah! Kita bukannya Rasul. Mana boleh kita menandingi akhlak Rasulullah.”

Benar. Kita bukannya Rasulullah, tetapi kita adalah Khalifah. Khalifah tugasnya membawa risalah Rasulullah. Membawa pesanan dan wasiat Rasulullah untuk manusia terus beribadah kepada Allah. Bukankah manusia itu telah diberi jawatan sebagai khalifah? Diciptakan pula untuk beribadah kepada Allah?

Allah pernah berfirman di dalam surah Al-Baqarah pada ayat 30 tentang penciptaan manusia kebagai Khalifah. Juga pada surah adz-Dzariyaat pada ayat 56 berkenaan peribadatan manusia dan jin hanya kepada Allah.

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi...” (Al-Baqarah: 30)

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (adz-Dzariyaat: 56)


As-Syahid Imam Hassan Al-Banna juga pernah berkata bahawa kita ini bukanlah pemula, kita bukan juga yang terakhir. Tetapi kita adalah mata rantaian dan penyambung kepada perjuangan yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah saw. Ini bermakna kita adalah pembawa risalah Rasulullah.

Apa yang Rasulullah lakukan, lisankan, serukan dan sarankan perlu kita sampaikan dan ajarkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Kita adalah Khalifah. Sebab itulah akhlak indah Rasulullah itu perlu kita semaikan ke dalam jiwa-jiwa mukmin supaya ia mampu memberi keyakinan kepada orang lain dan memperolehi kepercayaan dari mereka untuk bersama menggegarkan dunia ini dengan kebangkitan semula Islam di muka bumi ini.

“Konstantinopel itu pasti akan dibebaskan. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin (penawan)nya dan sebaik-baik tentera adalah tentera (yang menawan)nya.” - Hadis Riwayat Hakim, Bukhari dan Imam Hanbal.

Itulah Hadis berkenaan janji Rasulullah kepada sahabat dan umat. Ia sememangnya benar-benar berlaku di mana Konstantinopel telah berjaya dibebaskan oleh seorang pemimpin yang sebaik-baik pemimpin iaitu Sultan Muhammad al-Fateh pada 1453M.

Mengapa sebaik-baik pemimpin dan sebaik-baik tentera sahaja yang dapat menguasai dunia? Ini adalah jelas mengatakan bahawa Islam itu tinggi dan kita perlu buktikan dengan perbuatan kita bahawa Islam itu memang tinggi. Kita seharusnya telahpun berada di dalam perjalanan untuk membuktikannya. Cahaya kebenaran itu tidak akan padam. Apabila kita berhenti dari membawanya, Allah akan menggantikannya dengan orang lain.

Kunci dalam proses pembuktiannya adalah akhlak. Jaga akhlak, perlihara adab. Akhlak dan adablah yang akan menjadi kunci bagi membolehkan pintu kepercayaan dibuka. Dan kepercayaan itu akan melahirkan keyakinan bagi membentuk kekuatan untuk menguasai dunia sekaligus akan menempatkan semula Islam di 2/3 dunia seperti sebelum ini. Tanpa akhlak, tiadalah kepercayaan. Tanpa kepercayaan, tiadalah jua keyakinan. Dan usaha menggegarkan dunia dengan kebangkitan Islam yang diimpikan akan menjadi tidak keruan dan tiada berhaluan. Semuanya saling berkaitan.

Pernah dengar kisah pengembala kambing dengan serigala? Pasti pernah. Kisahnya bermula dengan seorang pengembala kambing membawa kambing-kambingnya untuk meragut rumput di atas bukit. Dirinya berniat jahat untuk menyakat orang-orang kampung, lantas dia menjerit-jerit meminta tolong bahawa kononnya serigala datang membaham kambing-kambingnya. Apabila orang-orang kampung datang ingin menolongnya, dia ketawa berdekah-dekah. Orang kampung tertipu dengan lakonannya. Jelas, pengembala kambing itu tidak berakhlak dengan memperdaya orang-orang kampung tersebut.

Langit tidak selalu cerah, hati tidak selalunya ceria. Bak kata orang tua-tua, apa yang kita guraukan itulah yang sering menjadi kenyataan. Serigala menjelma lalu menerkam kambing-kambing pengembala kambing ini. Pengembala kambing itupun menjerit-jerit meminta tolong. Bersungguh-sungguh meminta tolong. Kali ini kambing-kambingnya benar-benar dibaham oleh serigala. Ini betul-betul. Bukannyalakonan. Tidakkah mereka mendengar jeritan si pengembala kambing itu?

Mereka mendengar jeritan itu. Namun, kepercayaan mereka telah direntap oleh sikap tidak berakhlak si pengembala kambing tersebut. Inilah akibatnya jika tidak menjaga akhlak dan adab. Kepercayaan hilang, keyakinan jua turut hilang. Bagaimana untuk menguasai kembali 2/3 dunia jika umatnya tidak dipercayai dan tidak diyakini lagi?


Jagalah tutur kata. Jagalah penampilan. Jagalah perbuatan. Ayuh! Kempen menjaga akhlak.

1 comments:

Putry Amouy said...

JOIN NOW !!!
Dan Dapatkan Bonus yang menggiurkan dari dewalotto.club
Dengan Modal 20.000 anda dapat bermain banyak Games 1 ID
BURUAN DAFTAR!
dewa-lotto.name

Post a Comment