Pages

Subscribe:

Monday, December 6, 2010

Hanya Mampu Menulis

“Kenapa kau tak pernah bercakap di hadapan umum?” Soal Fazli.

“Maksud kau?” Pintasku mendapatkan kepastian.

“Bercakap di hadapan orang ramai. Bercakap di hadapan kelas. Berceramah di atas pentas dewan, atau memberi tazkirah di dalam surau.” Jelasnya semula. Sungguh terperinci.

“Aku tak pandai bercakap.” Balasku kembali. Mematikan persoalannya.

“Tapi kau banyak idea untuk menulis. Mesti banyak isu-isu penting untuk bercakap.” Kata Fazli lagi. Bukan lagi persoalan. Tetapi dalam bentuk saranan.

“Itu kelebihan aku. Aku mampu mencari idea.” Aku cuba tampilkan izzah. Kekuatan dan kebanggaan aku dalam bidang penulisan.

“Pentingkah menulis?” Fazli kembali bertanya.

“Penting.“ Ringkas jawabanku. Fazli memandang aku. Nampaknya Fazli memerlukan huraian bagi membuktikan betapa pentingnya menulis ini.

“Ia penting sebab aku sering kelu tanpa kata-kata apabila berada di hadapan orang ramai. Aku juga cepat lupa isi-isi penting yang aku mahu sampaikan pada mereka. Sebab itulah menulis ini penting bagiku.”

“Kenapa perlu menulis?”
“Hanya itu yang aku ada. Aku tidak petah berkata-kata, aku juga tidak pintar berbicara, tetapi yang ku ada hanyalah pena. Menggantikan kata-kata dan bicara. Dengan membawa maksud yang sama.”

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Ali-Imran: 104)

Jika diimbaskan kembali saranan Rasulullah akan hadisnya berkenaan ‘Sampaikan ajaranku walaupun sepotong ayat’, apakah ajaran Rasulullah itu hanya boleh disampaikan dalam bentuk pengucapan sahaja? Sudah tentu tidak. Ajaran itu boleh disampaikan dalam apa jua bentuk sekalipun asalkan ia membawa maksud yang sama. Jelas penyampaiannya. Penyampaian dalam bentuk penulisan, pembinaan akhlak, pembentukkan identiti dan sebagainya juga mampu menyampaikan ajaran yang diajarkan oleh Rasulullah kepada ummahnya. Seandainya ajaran Rasulullah itu hanya boleh disampaikan dalam bentuk pengucapan sahaja, maka rugilah bagi orang yang dirinya tidak petah berbicara sedangkan dia memang ingin benar meneruskan risalah Rasul junjungan mulia.

“Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-Alaq’: 3-5 )

“...dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Al-Ash: 3 )

Bagaimana mula menulis?
Sifat kuat imaginasi dan kuat angan-angan yang ada padaku. Dari situlah aku mula menulis walaupun hanya sekadar suka-suka. Selepas mula menjejaki ke alam kampus, dengan melalui program pengurusan diri, aku diajar untuk mengaplikasikan Analisis SWOT ke dalam diri. Kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang wujud pada diri dan sekitar diri perlu diterjemahkan ke atas sekeping kertas putih dengan mengasingkannya kepada empat bahagian tersebut.

‘Kekuatan’ku adalah IMAGINASI YANG TINGGI. ‘Ancaman’ku pula adalah KUAT BERANGAN-ANGAN. Jika ancaman ini tidak dikawal, pasti keburukkan yang akan menjalar ke seluruh kehidupanku dan ia akan bertukar menjadi kelemahan pula padaku. Namun, apabila ancamanku ini digabungkan dengan kekuatanku, maka wujudlah ia sebagai ‘peluang’ iaitu MENULIS. Maka, ancamanku telah bertukar menjadi peluang.

Mengapa perlu menulis?
Persoalan ‘mengapa’ kebiasaannya akan dibalas dengan ‘kerana’. Mengapa perlu menulis adalah kerana ia boleh dijadikan sebagai salah satu dari cabang-cabang dakwah. Dengan menerapkan amal makruf nahi mungkar antara objektifnya. Boleh juga disampaikan kebenaran atau larangan itu melalui penulisan tersebut.

Cerita ringkas atau cerpen umpamanya, ayat-ayat al-Quran boleh disertakan bersama ke dalam sesuatu kisah itu bagi menjelaskan sesuatu tindakan yang dilakukan oleh seorang insan. Dengan mewujudkan watak dan perwatakan yang baik mahupun jahat serta menghasilkan cerita dan penceritaannya agar pembaca mampu menghayati sekaligus mampu menerima ayat al-Quran yang diselitkan ke dalam cerita itu sebagai dalil yang kukuh tanpa ragu.

“Alif, Lam, Mim. Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.” (al-Baqarah: 1-2)

Ia juga mampu membuatkan seseorang pembaca itu mengembalikan segala tindakannya hanya pada Allah apabila selesainya mereka membaca sesuatu cerita, lantaran sifat ‘segalanya hanya dari Allah’ telah diserapkan ke dalam kehidupan mereka.

“Oh! Patutlah perkara ini jadi dalam hidup aku. Rupanya ini adalah ujian dari Allah untuk menguji iman hamba-hambaNya. Baiklah. Aku redha.” Sifat Husnul Zhon (bersangka baik) telah mula menyinari kehidupan pembaca tersebut apabila ketika itu dia terbaca sepotong ayat dari surah Ali-Imran pada ayat ke-139 yang mungkin ada di dalam mana-mana cerita

“Dan janganlah kamu merasa lemah dan janganlah pula kamu berdukacita, padahal kamulah orang-orang yang tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman.” (Ali-Imran:139) ]

Untuk mengubah hati pembaca? Serah saja pada Allah. Penulis adalah Dae’i (pendakwah), manakala pembaca adalah Mad’u (sasaran dakwah). Perlulah diingati bahawa keimanan pembaca itu adalah hak milik Allah. Penulis hanya mampu MENGAJAK manakala pembaca hanya mampu DISERU dan hidayah itu hanya dapat dikurniakan oleh Allah samada mereka mahu menerima atau tidak. Penulis hanyalah berusaha untuk menjadikan kisah-kisah yang ditulisnya ada hubung kait dengan Allah yang menciptakan kita di muka bumi ini. Berusaha mengembalikan pembaca-pembacanya hanya kepada Allah. Mengisahkan setiap kejadian yang berlaku telah diaturkan oleh Allah yang menciptakan dengan keimanan yang sebenar-benarnya pada Qadar dan Qada’.

Inilah yang aku ada. Aku tidak petah berkata-kata, aku juga tidak pintar berbicara, tetapi yang ku ada hanyalah pena. Menggantikan kata-kata dan bicara. Dengan membawa maksud yang sama. Aku akan cuba untuk istiqamah dalam bidang penulisan kerana ia telahpun menjadi sebahagian dari cabang dakwah yang mampu aku miliki sehingga ke hari ini.

“Rugilah kalau macam ini.” Rungut Penyelia di tempat kerjaku kini.

“Kenapa?” Aku kebingungan dengan keluhannya.

“Apa yang kamu tulis, hanya dapat dibaca oleh orang yang tahu guna komputer sahaja. Ramai pekerja sini adalah dari golongan yang menetap di kawasan kampung, dan mereka tidak tahu untuk menggunakan komputer. Sudah tentu mereka tidak boleh memanfaatkan apa-apa dari blog itu.” Keluhnya sekali lagi.

Aku terfikir. Ada benarnya kata-kata penyeliaku itu.

Lantas, apa yang dapat ku lakukan adalah dengan mencetak artikel-artikel yang ada pengajaran dan boleh dimanfaatkan untuk diberikan kepada mereka. Mudah-mudahan niatku terus menjadi ikhlas dan skop dakwahku semakin luas. Teringat bait-bait lagu yang dinyanyikan oleh Ramli Sarip, ‘Aku menulis bukan kerana nama’. Akan aku aplikasikannya ke dalam diri.

Sudah hampir lapan bulan aku bekerja di sini.

“Ada cerita baru?” tanya Ummi, seorang wanita berusia yang telah ku anggap sebagai ibuku sendiri dengan panggilan Ummi.

Aku tersenyum sambil menghulurkan sekeping kertas yang mengandungi cerita terkini. Dia mengambil dengan lakaran senyuman dan berlalu pergi.

“Kalau ada lagi, bagitahulah.” Pintanya.

“InsyaAllah. On The Way.”

Alhamdulillah. Aku berharap agar apa yang aku lakukan ini ada nilaiannya di sisi Allah. Apa yang kulakukan ini tidak akan menjadi sia-sia andai segalanya diserahkan pada Yang Maha Esa. Tanpa disebulungi dengan perasaan riak dan berbangga-bangga. Aku memohon pada-Nya agar diperlihara niatku ketika dan selepas menulis sesebuah cerita.

Jika ditanya mengapa aku menulis?
Aku akan menjawab, “Aku hanya mampu menulis.”

“Bila nak keluar buku sendiri?”
Pergh! Rileks dulu! Haha. Poyo giler keluar buku sendiri. Ceh!

0 comments:

Post a Comment