Pages

Subscribe:

Thursday, June 16, 2011

Menjejak Bahagia

Burung bebas beterbangan di langit biru. Angin menghembus penuh kedamaian. Pepohonan hijau turut melambai santai. Seolah-olah alam flora itu sedang menyanyi penuh keriangan, penuh membahagiakan. Andai dibaringkan badan di tengah padang kecil itu, tidak akan terasa bahangnya. Malah mungkin saja mata terlelap dengan lena.

Derapan langkah seorang insan dari koridor sekolah rendah kedengaran perlahan. Semakin lama, semakin kuat. Bererti langkahan itu sudah semakin hampir dengan destinasinya.

“Cikgu datang! Cikgu datang!”

Pantas pelajar-pelajar kelas itu menuju ke tempat duduk masing-masing. Cuba menyembunyikan aktiviti mereka sebelum guru masuk ke dalam kelas tadi.

Sekelip mata. Suasana yang bisingnya mampu kedengaran hingga ke bilik guru tingkat atas, senyap serta-merta. Insan yang sedang berjalan dari luar bilik kelas itu seperti mempunyai mukjizatnya yang tersendiri. Lalu sahaja, suasana sepi.

Tertera di atas muka pintu dengan perkataan ‘Kelas 2 Ceria’. Langkah insan itu terus masuk ke dalamnya. Tidak teragak-agak. Dia meletakkan bukunya di atas meja guru yang berada di hadapan kelas. Tangan kiri membetulkan cermin mata yang dipakainya.

“Bangun!” laung ketua kelas.

“Assalammu’alaikum, cikgu!”

“Assalammu’alaikum, cikgu!” suara pelajar kelas itu bergema gagah. Mengikuti ucapan salam yang dilaungkan oleh ketua kelas.

“Wa’alaikummussalam. Duduk semua.” Arah insan yang berdiri di hadapan kelas.

Cikgu Ifaa. Itulah abjad yang tertera pada tag namanya. Kemas terletak di sebelah kiri tudung insan itu. Dialah seorang cikgu. Pendidik anak bangsa dengan menggunakan acuan agama. Tudung labuhnya itu langsung tidak menghalang kerjayanya sebagai seorang guru. Malah, dia cukup disenangi oleh orang lain. Mereka juga mudah meletakkan kepercayaan kepadanya atas amanah yang dijaganya.

Perlahan langkahnya diatur ke menghampiri papan hitam. Tangan kanan mencapai kapur putih yang masih tersisa di tempatnya, lalu melakarkan satu perkataan pada papan hitam. Besar perkataannya. Satu persatu.

“B-A, Ba, H-A, ha, G-I-A, gia” eja Fatin mengikut suku kata.

“Bahagia!” jerit seorang pelajar lain. Afiq namanya.

“Betul! Bahagia.” Cikgu Ifaa bersuara dan berpaling ke arah pelajar kelas itu. Kapur masih lagi berada di tangan. Digenggam.

“Hari ini kita akan membicarakan tajuk...”

“Bahagia.” Sampuk Akmal memintas kata-kata Cikgu Ifaa.

Tidak sempat Cikgu Ifaa menghabiskan kata-katanya.

Dia tersenyum dan mengangguk-angguk mengiyakan kata-kata Akmal. Akmal seorang pelajar yang agresif. Suka meneka apa yang ‘akan’ dikatakan oleh orang lain dan cuba menyambungnya.

“Bahagia. Siapa tahu apa itu bahagia?”

“Bahagia itu adalah ketenangan, cikgu!” jawab Aisya, tangannya diangkat serentak dengan jawaban yang diberikannya.

Sekali lagi Cikgu Ifaa mengangguk.

“Bagaimana pula kita mahu capai ketenangan?” Soal Cikgu Ifaa lagi. Bertalu-talu soalannya dengan jawaban dari pelajarnya.

“Hakikatnya bahagia itu adalah ketenangan, bila hati mengingati Tuhan.”

Cikgu Ifaa tersenyum lebar. Mana tidaknya. Faizul, tangannya mengetuk meja bergendang sambil menyanyikan sebaris rangkap lagu dari kumpulan nasyid UNIC. Lagu yang bertajuk Hakikat Bahagia. Sesuai dengan tajuk yang sedang mereka bincangkan.

“Faizul! Awak mari ke depan. Nyanyikan lagu yang awak nyanyikan tadi. Bagi kawan-kawan awak dengar suara merdu awak.” Bicara Cikgu Ifaa merancakkan suasana.

Faizul malu-malu. Dia menggeleng kepala tidak mahu.

Kawan-kawannya pula sakan menyakatnya apabila Cikgu Ifaa menyebut ‘suara merdu’ tadi.

“Baiklah, kelas. Bahagia itu adalah ketenangan. Tenang apabila kita mengingati Tuhan iaitu Allah yang menciptakan kita. Pada-Nya terletak segala kebahagiaan” suara Cikgu Ifaa kedengaran jelas seluruh kelas. “Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Surah Ar-Ra’d ayat 28” sambungnya lagi dengan dalil naqli.

Cikgu Ifaa terpandang Hayati yang memandang ke luar kelas.

Perhatiannya seperti tiada di dalam kelas.

“Norhayati!”

Lantas Hayati memalingkan wajahnya mengadap Cikgu yang sedang memanggil.

“Norhayati. Bila hidup awak akan bahagia?” soal Cikgu Ifaa memberikan peluang kepada Hayati untuk bersuara. Wajah Cikgu Ifaa masih tersenyum. Tiada tanda-tanda dia marah dengan perhatian yang diberikan oleh Hayati.

“Hayati akan bahagia apabila...” suara Hayati terhenti sejenak. Memikirkan jawaban yang revelen untuk dilontarkan.

“Bila kau sudah kahwin nanti.” Sakat Akmal yang duduk di belakangnya. Menyambung ayat Hayati yang terhenti.

Kelas ketawa. Hayati mencuka.

Cikgu Ifaa mengisyaratkan kelas untuk senyap. Menanti jawaban dari Hayati.

“Ada jawaban, Norhayati?” suara Cikgu Ifaa sekali lagi bergema.

“Er... Bila Hayati sudah jadi kaya, cikgu!” tangannya diangkat ke atas. Seolah-olah meminta izin untuk menjawab sedangkan soalan itu adalah untuknya.

Cikgu Ifaa tersenyum.

Tangannya masih lagi terangkat. Menanti respon Cikgu Ifaa.

“Baiklah. Bila awak sudah jadi kaya, awak rasa awak akan bahagia?”

“Mestilah. Boleh beli macam-macam.” balas Hayati pantas.

“Orang lain yang tengok kehidupan awak kaya-raya?”

Hayati seakan berfikir.

“Mesti orang lain jeles sebab mereka tidak boleh beli macam-macam.” Balas Akmal.

“Apa yang awak akan terfikir apabila tahu ada orang jeles dengan awak?” soal Cikgu Ifaa kembali kepada Hayati.

“Mesti dia nak ambil harta kita. Dia akan culik kita, kemudian minta wang tebusan dari keluarga kita” Fatin mencelah.

Tangan Farid diangkat.

“Ataupun dia pecah masuk rumah kita dan rompak harta kita.” Farid dengan jawaban pesimisnya. Selalu pesimis.

Cikgu Ifaa terus tersenyum. Lalu dia berjalan menghampiri Hayati.

“Awak akan bahagia lagi tak apabila terfikir sebegitu, Norhayati?” wajah Cikgu Ifaa didekatkan dengan wajah Hayati.

Hayati menggeleng lalu menundukkan wajahnya.

“Apabila kita jadi kaya, belum tentu kita akan bahagia. Betul cikgu?” Ulas Fadhil yang duduk di bahagian tengah sebelah kiri kelas.

Cikgu Ifaa tersenyum. Dia mengangguk. Erti bahagia hampir sampai kepada minda pelajar-pelajar ini.

Suasana senyap seketika. Cikgu Ifaa kembali berjalan ke hadapan kelas.

Apabila kita jadi kaya, belum tentu kita akan bahagia.

“Maknanya..” Azzean mula bersuara. Berfikir sejenak.

“Kebahagiaan itu terletak pada kemiskinan?” sambung Azzean.

Cikgu Ifaa mengeluh kecil. Rupanya apa yang mahu disampaikannya ada sesetengah pelajar yang masih belum dapat tangkap maksudnya.

Cikgu Ifaa tersenyum sambil menyatakan jawabannya kepada Azzean.

“Tidak!” katanya sambil menggeleng-geleng. Menidakkan kenyataan dari Azzean.

Azzean kerut dahi.

“Aiman!” nama Aiman pula yang dipanggil. Pandangan Azzean dilemparkan ke arah Aiman.

“Kalau awak, awak mahu jadi orang kaya atau jadi orang miskin?”

Aiman tersengih sendiri memandang rakan-rakannya.

“Aiman tak kisah.” Jawabnya ringkas.

Pecah tawa seluruh warga kelas 2 Ceria dengan telatah Aiman.

Cikgu Ifaa tidak terkecuali. Tawanya juga turut berderai.

“Awak kena kisah, Aiman. Sebab ini adalah berkenaan kehidupan awak.” Balas Cikgu Ifaa dengan tawa yang berbaki.

Aiman masih lagi tersengih.

“Hasmi! Kalau awak diberi pilihan samada mahu jadi orang kaya atau orang miskin, mana satu yang awak akan pilih?” soalannya beralih pula kepada Hasmi.

“Tengah-tengah.” Jawab Hasmi.

Cikgu Ifaa mengangkat kening. Ada sebahagian rakan-rakannya ketawa.

“Kaya tidak, miskin pun tidak, cikgu.” sambung Hasmi menjelaskan jawabannya.

Kali ini Cikgu Ifaa tersenyum.

“Kaya tidak, miskin pun tidak. Ertinya kebahagiaan itu terletak pada sederhanaan? Betul?”

“Betul! Bergema suara satu kelas serentak mengiyakan jawaban Cikgu Ifaa. Termasuk Azzean sama.

“Kalau begitu, kebahagiaan terletak di mana? Kekayaan bukan, kemiskinan pun bukan.” Soal Cikgu Ifaa lagi. Ditujukan kepada Azzean.

Azzean hanya mengangkat bahu. Tidak tahu.

“Faizul!”

Waktu ini, Faizul kelihatan mulutnya terkumat-kamit menyebut sesuatu tanpa suara. Seakan-akan sedang membaca mentera.

Bahagia itu dari dalam diri. Kesannya zahir rupanya maknawi. Terpendam bagai permata di dasar hati.” Faizul kembali menyebut bait-bait nasyid Hakikat Bahagia. Tidak mengalunkan dengan nada.

“Sambung lagi Faizul.” Pinta Cikgu Ifaa.

Bahagia itu ada pada hati. Bertakhta di kerajaan diri. Terbenam bagai mutiara di lautan nurani.” Faizul menantikan reaksi cikgu dan rakan-rakannya.

“Itulah hakikat bahagia.” Bicara Cikgu Ifaa sambil memandang rawak ke seluruh pelajar-pelajarnya.

Faizul tersenyum. Dia merasakan Cikgu Ifaa tahu yang dia membacakan perenggan lirik lagu nasyid.

Suasana kelas senyap sekali lagi.

Bahagia itu ada di jiwa. Mahkota di singgahsana rasa. Bahagia itu adalah suatu ketenangan.” Cikgu Ifaa menyambung perenggan seterusnya dari lirik lagu tersebut.

“Bahagia itu adalah ketenangan. Ketenangan itu pada kesederhanaan. Kesederhanaan itu adalah berasa cukup dengan apa yang ada. Itulah bahagia.”

Beberapa orang mengangguk-anggukkan kepala tanda faham.

“Mahu menjadi kaya, tidak menjadi masalah. Bukannya kaya harta. Tetapi kaya hati.” Tangan Cikgu Ifaa menepuk berulang kali di dadanya.

“Bukanlah kekayaan itu pada banyaknya harta benda tetapi kekayaan sebenarnya ialah kekayaan hati. Ini adalah hadis Rasulullah.” Pesannya lagi.

“Hatilah tempat bermulanya seseorang itu bahagia ataupun tidak?” Azzean bersuara.

Cikgu Ifaa mengangguk lalu tersenyum.

“Macam mana?” soal Azzean lagi. Ingin penjelasan lanjut.

Bersyukur dengan yang masih ada, Bersabar dengan yang telah tiada. Apabila kita merasa kita hebat, fikirlah ada lagi hebat dari kita. Apabila kita merasa kita lemah, fikirlah ada lagi lemah dari kita. Bererti kita tidak meninggi diri dan tidak pula berputus asa.” Cikgu Ifaa memandang sekeliling kelas. Menanti reaksi pelajar-pelajarnya.

“Masa kita kaya, kita bersyukur. Masa kita miskin, kita bersabar. Masa kita sakit, kita anggap itu adalah penghapus dosa. Masa kita susah, tidak salahkan takdir. Malah yakin dengan sepenuh keyakinan bahawa semua yang berlaku ada hikmahnya. Pasti ada ganjaran buat kita, jika kita percaya kepada takdir Allah.” Jelas Cikgu Ifaa panjang lebar.

“Ingatlah! Tidak ada seorang muslim pun yang mengalami penderitaan, kepenatan, kesakitan, kesulitan, kesedihan dan kebimbangan yang merunsingkannya melainkan dihapuskan sebahagian daripada kejahatannya.” Sekali lagi Cikgu Ifaa memetik sepotong hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim.

“Yakin dengan takdir, cikgu?” Faizul mencelah.

Cikgu Ifaa mengangguk. Dia mula bersuara.

“Dari Jabir berkata Rasulullah bersabda, Janganlah sekali-kali kamu mati kecuali dalam keadaan berprasangka baik terhadap Allah, sesungguhnya terdapat satu kaum dibinasakan kerana telah berprasangka buruk terhadap Allah.”

"Barang siapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu. Surah At-Thalaq ayat 2 dan 3.”

Cikgu Ifaa memandang jam di tangannya.

“Baik semua, kita ingat semula apa yang telah kita bincang pada hati ini.”

Semua pelajar mengubah posisi kedudukan. Bersiap sedia untuk disoal oleh Cikgu Ifaa. Memang inilah konsep yang diterapkan olehnya. Dia tidak mahu apa yang dibincangkan pada hari ini menjadi sia-sia tanpa dapat dimanfaatkan. Atas sebab itulah dia sering bersoal balas bersama pelajarnya ketika waktu kelas hampir ke penghujungnya.

“Fatin! Apa tajuk yang kita bincangkan hari ini?”

“Bahagia!”

“Afiq! Apa itu bahagia?”

“Bahagia adalah ketenangan. Ketenangan bila kita ingat pada Allah.”

“Azzean! Bahagia itu ada di mana?”

“Di sini, cikgu. Hati.” Azzean menepuk dadanya.

“Aisya! Bagaimana hati boleh membuatkan kita bahagia?”

“Bersangka baik dengan Allah yang jadikan kita.”

“Lagi! Faizul!”

“Yakin dengan takdir.”

“Norhayati! Bagaimana caranya?”

“Yakin apa yang terjadi, mesti ada hikmahnya.”

“Farid! Bahagia pada kekayaan atau kemiskinan?”

“Kekayaan! Kaya hati!”

“Fadhil! Awak mahu jadi kaya atau miskin?”

“Kaya!”

Cikgu Ifaa mengangkat kening. mahukan penjelasan dari jawaban Fadhil.

“Kaya hati!” Balas Fadhil pantas setelah melihat reaksi cikgunya sebegitu.

“Bahagia pada kesederhanaan, cikgu!” Akmal memberikan reaksi.

Belum sempat Cikgu Ifaa memanggil namanya, dia sudah memberikan jawabannya.

“Bagus, Akmal! Terima kasih.”

Pandangan Cikgu Ifaa beralih pula kepada Aiman.

“Aiman! Kalau awak tidak bahagia, awak kisah atau tidak?”

“Kisah.”

“Sebab apa kita mesti ambil kisah kalau hidup kita tidak bahagia? Hasmi!”

“Sebab ada kaitan dengan kehidupan dunia dan akhirat.”

“Bagus! Kamu semua sudah faham apa yang telah kita bincangkan hari ini.” Cikgu Ifaa tersenyum riang.

Semua pelajarnya memahami erti bahagia yang sebenar dan dia berharap mereka dapat mengingatinya dan cuba menjejakinya dengan bersungguh-sungguh.


Kring... Kring...

Loceng berbunyi.

Menandakan waktu rehat tiba.

Dari luar koridor dapat dilihat pelajar-pelajar kelas lain berlari-lari menuju ke kantin. Ada sebahagiannya menuju terus ke tengah padang untuk bermain.

“Cikgu! Rehat!” Fatin mengingatkan.

Cikgu Ifaa juga melemparkan pandangannya ke luar kelas.

“Baiklah. Semua boleh keluar rehat.” Akhiri Cikgu Ifaa. Dia berjalan ke meja guru untuk mengambil bukunya yang masih terdampar di atas meja. Memahami kehendak pelajarnya yang masih mentah.

“Bangun!” laung ketua kelas.

Ada sebahagiannya sudahpun berdiri sebelum ketua kelas memberikan arahan bangun.

“Terima kasih, cikgu!” ucap ketua kelas.

“Terima kasih, cikgu!” suara pelajar kelas bergema.

“Sama-sama.” Balas Cikgu Ifaa tersenyum.

Tanpa menunggu. Pelajar-pelajar terus bergerak keluar kelas.

Ada yang terus menuju ke kantin. Ada juga yang menuju ke kawasan padang sekolah. Seperti pelajar-pelajar kelas lain.

Cikgu Ifaa masih tersenyum melihat gelagat pelajar-pelajar di tengah padang.

Alam kanak-kanak. Bermain, adalah sesuatu yang membahagiakan buat mereka waktu ini. Di dalam hati seorang cikgu bernama Isyfi Ifaa Arifah terdetik, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Pelajar-pelajar ini adalah rebung yang perlu dibentuk sebelum mereka mencecah alam awal remaja yang penuh dengan likunya.

Dia yakin, dia mampu mengubah peribadi dan pemikiran pelajar-pelajar ini.

Langkahnya diatur keluar dari kelas 2 Ceria dan terus menuju ke bilik guru yang berada di tingkat satu di atas.

Semoga suatu masa nanti, semua insan di atas muka bumi ini mampu mengecapi kebahagiaan dengan sebenar-benar erti kebahagiaan. Yakin dengan janji-janjiNya.

Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong agama Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." (Muhammad : 7)

“Dan berpegang teguhlah kamu sekelian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.” (Ali Imran: 103­)


Wednesday, June 1, 2011

Tazkirah Malam Pertama


“Assalammu’alaikum.” Sapa Hasrol kepada isterinya Nor Akma ketika dia melangkah masuk ke dalam kamarnya.

Hari ini, dirinya bergelar raja sehari. Petang tadi telah menjadi saksi kalimah ‘aku terima nikahnya’ termeterai. Menyatukan dirinya dan isterinya, Nor Akma.

“Wa’alaikummussalam.” Jawab Nor Akma atau mesra dengan panggilan Akma. Masih malu-malu. Jiwa sedikit gementar. Hari ini dirinya akan memikul satu lagi tanggungjawab baru iaitu tanggungjawab sebagai seorang isteri. Dirinya akan hidup bersama suaminya di sisi. Insan yang akan membimbing dan memimpin kehidupannya. Mudah-mudahan mampu membawanya ke jalan yang lurus. Akma akan berusaha untuk berada di sisi suaminya biar apa pun gelombang dugaan yang menerkam.

“Apa tentatif program kita malam ini?” soal Hasrol menghampiri Akma yang sedang duduk di tepi katil. Hasrol melabuhkan punggung di sebelah Akma.

Akma terpinga seketika.

Tentatif program? Matanya membesar perhatikan Hasrol. Memikirkan ‘tentatif program’ yang dimaksudkan oleh Hasrol.

Dia tersenyum. Pipinya berubah kemerah-merahan. Tersenyum lebar.

“Saya tahulah dulu awak pernah aktif dalam program. Takkan malam ini pun perlu tentatif program juga?” balas Akma tersenyum. Senyuman penuh makna.

Tidak dapat dinafikan Hasrol adalah seorang graduan yang suka berprogram semasa di alam kampusnya. Apa saja program yang dia turut serta, dia akan berada di posisi penting.

Pernah sekali dua Hasrol memegang justifikasi tugas sebagai Pengarah Program. Selebihnya adalah sebagai Eksekutif Promosi dan Publisiti. Kemahirannya dalam menarik minat orang ramai untuk hadir ke programnya membuatkan dia sering menjadi rujukan organisasi lain bagi menjayakan program masing-masing.

Malah, pernah programnya yang berkisarkan kerohanian atau pengisian ilmu agama dihadiri oleh orang bukan Islam. Ada juga menjadikan poster-poster yang dihasilkannya sebagai koleksi peribadi. Dia juga mampu mengubah strategi promosi program di saat-saat akhir, kerana itu adalah kemahirannya dan kerana itu jugalah Jawatan Eksekutif Promosi dan Publisiti sentiasa tersedia untuknya.

Hasrol memandang Akma dengan senyuman.

“Jadi, malam ini program adhoc-lah?” jawab Hasrol dengan persoalan. Menyakat isterinya di hari pertama.

Adhoc adalah satu situasi perancangan yang dibuat secara segera. Ia boleh juga disifatkan sebagai perancangan mengejut. On the sport.

“Terserah pada awaklah. Awak Pengarah Program.” Akma menggerakkan kedua-dua jari telunjuknya ketika menyebut perkataan ‘Pengarah Program’. Senyumnya melebar.

Hasrol mencubit hidung Akma. Akma terdorong ke belakang. Cuba melepaskan cubitan Hasrol. Hasrol tersenyum.

Seketika kemudian, Hasrol bangun dari tepi katil dan menuju ke sebuah meja kecil yang ada di sudut bilik itu. Dikeluarkan sebatang pen dan dua helai kertas kosong berwarna putih.

Diangkatnya meja itu dan dibawa menghampiri isterinya. Kedudukan meja itu kini berada di antara Hasrol dan Akma.

Suasana diam seketika.

Kelihatan Hasrol sedang asyik melakarkan sesuatu di atas sekeping kertas putih itu.

Bermula dengan ejaan namanya di bahagian bawah tengah kertas itu. Ditulis pula nama-nama adik beradiknya. Di atas nama-nama adik beradiknya, tertera nama kedua ayah dan ibunya. Nama ayah di sebelah kiri, manakala nama ibu di sebelah kanan. Dilakar pula nama adiik beradik ayah. Kemudian, Hasrol menulis nama anak-anak kepada adik beradik ayahnya ataupun sepupunya dari sebelah ayah. Di atas sekali, tercatat nama atuk dan neneknya. Begitulah tindakannya dalam melakar senarai saudara-mara dari sebelah ibunya.

Selesai.

Pen diletakkan di atas meja.

Hasrol tersenyum melihat Akma yang terpinga-pinga memerhatikan tindakan Hasrol itu.

“Kita akan ziarah mereka semua.”

Akma mengangkat muka memerhati Hasrol yang sedang berbicara dengannya. Dia tersenyum.

Akma tahu, Hasrol cuba untuk menjelaskan bilangan ahli keluarga besarnya dan juga salasilah keluarganya.

Tanpa dipinta, Akma mencapai pula sekeping lagi kertas kosong yang tersedia di atas meja. Sebelah tangannya lagi mencapai sebatang pen yang diletakkan di sudut meja itu. Akma terus melakukan perkara yang sama seperti apa yang Hasrol lakukan sebentar tadi.

Penuh kusyuk melakar nama-nama penting dalam ikatan persaudaraannya.

Selesai.

Kertas putih yang sudah terlakar itu diletakkan di hadapan Hasrol. Hasrol mengambil dan memerhati silasilah keluarga Nor Akma yang terlakar di atas kertas itu.

“Kita ziarah mereka juga nanti ya.” Akma mula bersuara.

Hasrol menggerakkan matanya seketika memerhatikan Akma. Senyuman mengiringi.

Akma tahu, semasa di awal tempoh pertunangannya dengan Hasrol, Hasrol pernah berkata padanya bahawa pernikahan itu bukanlah menghubungkan dua orang insan sahaja, sebaliknya pernikahan itu mempersaudarakan dua buah keluarga. Kini, talian persaudaraan itu sedang cuba untuk berjalan. Dan Hasrol cuba untuk merealisasikan kata-katanya.

Akma menarik nafas. Sedang cuba untuk berkata sesuatu.

Hasrol menunggu reaksi Akma. Mungkin ada benda yang mahu diluahkan.

Akma mula bersuara.

“Awak. Dalam ramai-ramai kawan awak, kenapa awak memilih saya?” soalan Akma menjelma. Ini bukannya kali pertama soalan itu menyapa, sudah banyak kali soalan itu menyapa cuping telinga Hasrol sebelum ini. Cuma setiap persoalan itu hanya akan berakhir dengan jawaban ‘awak akan tahu suatu hari nanti.’

Akma berharap hari inilah ‘suatu hari’ yang dikatakan Hasrol itu.

Hasrol tersenyum. Bahkan lebih lebar dari sebelumnya. Dia juga tahu, Akma sentiasa menyimpan soalan itu selagi masih belum terjawab.

Tangan Hasrol memegang tangan Akma. Ditarik perlahan-lahan menghampirinya. Digenggam erat tanda kesungguhannya mahu memperisterikan Nor Akma. Ingin juga mengatakan bahawa Nor Akma adalah pilihan yang terbaik buat dirinya.

Hasrol menarik nafas sebelum memulakan bicara.

“Sebab...”

“Sebab?” Akma kembali bersuara. Dia merasakan kata-kata Hasrol lama terhenti.

“Sebab awak ada tiga ciri-ciri yang saya mahukan ada pada seorang isteri.” Jawab Hasrol tenang.

Akma mengangkat kening. Ciri yang dimaksudkan? Masih lagi persoalan.

Hasrol terus tersenyum senang.

“Salah satu ciri yang ada pada awak adalah, awak mampu menjadi penghubung kepada keluarga awak dan keluarga saya.” Bicara Hasrol. Cuba menghentikan persoalan Akma.

Akma memerhati Hasrol dengan penuh sabar. Hakikatnya dia masih perlukan jawaban yang jelas dari Hasrol. Dia perlu bersabar. Dia tahu Hasrol adalah seorang yang tidak suka dipaksa.

Hasrol kembali bersuara.

“Awak pernah pertemukan saya dengan ayah dan ibu awak. Awak juga pernah bawa opah dan atuk awak untuk bertemu dengan saya.”

“Awak pernah berkata yang awak mahu kenal dengan keluarga saya. Buktinya, awak bawa bersama ayah dan ibu awak untuk bertemu dengan mak dan ayah saya. Dan awak berusaha juga untuk menghafal nama penuh adik beradik saya.” Hasrol menyambung bicara.

Genggaman tangan Hasrol semakin erat.

Hasrol terus melemparkan senyumannya buat Akma.

“Sebab itulah saya tahu, awak mampu untuk menjadi penghubung kepada keluarga awak dan keluarga saya. Sebab itu jugalah saya memilih awak.” Hasrol mengakhiri persoalan yang bermain di dalam fikiran Akma dengan sejelas-jelasnya.

Akma tersenyum senang.

Tangannya meleraikan genggaman Hasrol dan genggaman bertukar tangan. Akma pula yang menggenggam tangan Hasrol waktu ini.

Akma menarik ganggaman tangan menghampiri dadanya.

“Bimbing saya ke jalan yang diredhai Allah ya.” Akma menyatakan harapannya.

“InsyaAllah, saya akan cuba sedaya upaya.” Ujar Hasrol.

Kata-kata Hasrol terhenti seketika.

Hasrol menyambung bicaranya dengan membacakan firman Allah dari Surah An-Nisa’ ayat ke-34 kepada Akma, “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki dengan beberapa keistimewaan atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan dengan memberi nafkah sebahagian dari harta mereka.”

Akma menundukkan wajahnya memandang meja di hadapan mereka. Senyuman masih lagi terukir mesra.

*****

“Betulkah enta mahu pilih dia?” bicara Ustaz Kassim seolah-olah pilihan Hasrol ini kurang tepat.

Hasrol mengangguk. Matanya setia merenung Ustaz Kassim. Agak gusar dengan soalan yang Ustaz Kassim utarakan.

“Kenapa, Ustaz?” Hasrol bersuara. Soalan yang memerlukan jawaban jelas dari Ustaz Kassim.

Ustaz Kassim melemparkan senyuman kepada Hasrol. Nampak jelas kegusaran di wajah Hasrol. Cuba menenangkan wajah Hasrol.

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatNya. Bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri. Supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” Bicara Ustaz Kassim penuh lembut.

“Surah ar-Rum, ayat 21.” Hasrol menyatakan sumber ayat yang Ustaz Kassim bacakan kepadanya sebentar tadi.

Ustaz Kassim mengangguk.

“Enta pun faham maksud ayat itu, bukan?”

Giliran Hasrol pula mengangguk.

Suasana diam seketika.

“Mungkin dia dari jenis enta sendiri.” Ustaz Kassim bersuara. Bernada rendah.

Hasrol menundukkan sedikit kepalanya dari memandang Ustaz Kassim.

“Enta mampu untuk tarbiyyah dia?”

Hasrol masih lagi membisu.

“Hasrol, enta sudah melalui proses tarbiyyah, sepatutnya cinta enta adalah sesuatu yang mahal. Perjalanan cinta orang yang sudah ditarbiyyah tidak sama dengan cinta orang yang masih belum ditarbiyyah. Apatah lagi enta adalah seorang da’ie.”

Hasrol masih menundukkan wajahnya mengadap lantai masjid. Matanya dilemparkan ke arah saf-saf yang berwarna hijau dan kuning.

“Ustaz pun tahu saya orang yang bagaimana, bukan?” Suara Hasrol memecah kebisuan. Didongakkan sedikit wajahnya memandang Ustaz Kassim.

Ustaz Kassim mengangguk. Mengiyakan kenyataan Hasrol.

Keluhan kecil Ustaz Kassim kedengaran. Ini soal masa depan seorang insan yang berada di hadapan Ustaz Kassim kini. Andai Hasrol tersalah pilih pelengkap hidup, segala kelebihan Hasrol selama ini yang ditumpahkan ke medan siasah, mungkin tidak lagi dapat disalurkan dengan sebaiknya.

Rugi rasanya, jika Hasrol tersalah pilih.

Atas sebab itulah Ustaz Kassim begitu teliti siapa pilihan orang-orang yang bernaung di bawah persatuan yang diselianya, Persatuan Mahasiswa Intergriti.

Ahmad Hasrol bin Hishammuddin. Seorang yang tidak dapat dijangka sebarang ideologinya. Adakala dia kelihatan seperti seorang yang thiqah penampilannya, adakalanya hanya seperti kebanyakkan orang di sekitarnya. Mungkin atas sebab ini orang yang seangkatan dengannya bimbang untuk memilih dia sebagai pasangan hidup kerana dia sering dilabel sebagai ‘Hidden Agenda Icon’.

“Enta yakin boleh bimbing dia?” suara Ustaz Kassim memecah kebuntuan Hasrol. Hasrol tersentak seketika. Bagai dikejutkan dari lamunan.

Hasrol kembali bersuara. Bernada perlahan.

“Emosi. Saya pilih dia kerana emosinya sangat stabil. Dia tidak seperti kebanyakkan perempuan lain yang terlalu ikutkan kemahuan sendiri.” Hasrol perhatikan reaksi Ustaz Kassim.

Dia menarik nafas dalam-dalam.

“InsyaAllah, saya mampu bimbing dia.” Hasrol terus memandang ke wajah Ustaz Kassim. Meminta kekuatan jiwa dan rohani.

Ustaz Kassim tidak terus bersuara. Dia mengingati kembali ayat 21 dari Surah ar-Rum, ‘Bahawa Dia menciptakan untuk kamu wahai kaum lelaki, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri. Supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya’.

Mindanya kembali berfikir. Bisikan hati kecil Ustaz Kassim bersuara. Hasrol adalah orang yang sudah ditarbiyyah dan mampu untuk duduk semeja dengan orang biasa. Mungkin pasangannya adalah orang biasa yang mampu duduk semeja dengan orang yang sudah ditarbiyyah.

Mungkin peribadi insan pilihan Hasrol sama sepertinya, mudah-mudahan pilihan Hasrol ini mampu untuk bersenang hati dan hidup mesra dengannya. Bicara Ustaz Kassim sendirian. Hanya bergema di dalam hati.

Ustaz Kassim cuba melorek senyum. “Ustaz yakin, enta boleh tarbiyyah dia.” Terlakar senyuman keyakinan Ustaz Kassim. Seikhlas mungkin senyuman yang dilemparkan. Tangannya menepuk mesra bahu Hasrol.

Hasrol memandang ke arah Ustaz Kassim.

Ustaz Kassim terus bersuara. Rasulullah pernah bersabda, ‘Kamu nasihatilah para wanita itu dengan baik, kerana sesungguhnya wanita itu dijadikan daripada tulang rusuk yang bengkok. Dan tulang yang paling bengkok ialah yang paling diatasnya. Maka jika engkau paksa untuk meluruskannya, patahlah ia. Dan jika engkau biarkan sahaja, tentu selama-lamanya ia bengkok. Oleh kerana itu, berbuat baiklah terhadap para wanita.’ Ini adalah hadis riwayat Bukhari dan Muslim.”

Sambung Ustaz Kassim lagi. “Nasihatilah dia dengan cara yang baik.”

Hasrol cuba untuk tersenyum. Dia mengangguk perlahan.

Lalu Ustaz Kassim mengingatkan Hasrol dengan dua ayat yang dipetik dari kitab al-Quran.

“Wahai orang-orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu berhala.” (At-Tahrim : 6)

“Dan hendaklah engkau merasa takut, jika suatu hari nanti meninggalkan zuriat keturunan yang lemah, dan bimbangilah keadaan mereka. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan didiklah mereka dengan perkataan yang betul dan baik-baik.” (Al-Nisa’: 9)

Hasrol mengangguk tanda faham. Kata-kata Ustaz Kassim tidak akan dia ketepikan. Sesungguhnya pada orang lama, ada hikmah yang perlu diterokai.

*****

Pap! Pap! Pap!

Akma menepuk tangan tepat di hadapan muka Hasrol. Hasrol terpanar seketika. Terhenti dari lamunan.

“Termenung jauh nampak.” Sengih akma mengundang senyum Hasrol.

“Termenungkan masa depan kita.” Balas Hasrol mudah.

Hasrol memandang ke dalam anak mata Akma. Seolah-olah ada sesuatu yang Akma cuba untuk katakan, tetapi masih tersimpan di sudut hati Akma.

Hasrol terus menggenggam semula tangan Akma dan diletakkan tangan Akma itu di pipinya.

“Jadi isteri yang baik, ya.” Hasrol bersuara lembut.

Akma mengerut kening. Pelik.

“Kenapa buat macam Adam dalam filem Nur Kasih ni?” suara tawa Akma kedengaran. Hasrol juga turut ketawa kecil. “Lepas termenung jauh, terus buat drama jiwang karat.” Sengih Akma.

Kedua-duanya tersenyum lebar. Tangan yang diletakkan di pipi Hasrol dijatuhkan perlahan.

“Sebab Adam sudah jumpa Nur Amina yang dia cintai.” Balas Hasrol bercanda. Tangan kanannya mencubit pipi Akma. Akma cuba mengelak. Cubitan Hasrol tetap mengenai pipi Akma.

Hasrol terus bersuara. “Apabila seorang wanita itu telah melakukan solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, memelihara maruah dan mentaati suaminya maka diserukan kepadanya: masuklah dari mana-mana pintu syurga yang kamu sukai.”

“Macam pernah dengar. Ayat quran? Atau hadis?” tanya Akma.

Hasrol melemparkan senyuman kepada isterinya. Menarik nafas untuk menjelaskan persoalan Akma.

“Hadis.” Hasrol menunggu reaksi Akma. “Hadis riwayat Thabrani dari Abdul Rahman bin Auf.” Sambung Hasrol.

Tiada reaksi dari Akma. Dia hanya mendengar.

“Saya harap awak mampu untuk menjadi seorang ibu kepada anak-anak kita.”

Mampu menjadi seorang ibu kepada anak-anak kita? Akma pelik.

Soalan itu diterjemahkan. “Bukankah setiap orang yang melahirkan anak, dia pasti akan menjadi seorang ibu?”

“Berapa ramai yang menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu?” soalan Akma di balas pantas. Dia menggenggam erat kedua belah tangan Akma. Hasrol memandang jauh ke dalam mata Nor Akma.

“Sama juga dengan kita. Allah telah menyatakan, Dia menciptakan kita sebagai Khalifah. Tetapi berapa ramai yang betul-betul menjalankan amanah sebagai Khalifah?” kias Hasrol.

Hasrol tersenyum. Tangannya menyentuh pipi Akma. Akma turut tersenyum.

“Bukan hanya gelaran sebagai ibu, tetapi peranan sebagai ibu.”

Dicubit lembut pipi Akma. Akma membiarkan sahaja Hasrol mencubit pipinya kerana dia adalah hak suaminya itu.

Akma jelas dengan jawatannya sebagai isteri kepada Hasrol.

“Wanita (isteri) adalah pemimpin atas penghuni rumah suaminya dan anaknya, dan dia bertanggungjawab terhadap mereka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Akma menunduk.

Kemudian dipandang ke wajah Hasrol.

“Awak.” Akma bersuara. Sinar matanya menyatakan ada sesuatu yang ingin diperkatakan.

“Saya berjanji.” Suaranya terhenti. Mengumpul kekuatan bagi melafazkan kata-kata.

“Saya berjanji, saya akan menjadi seorang isteri seperti yang awak impikan. Menjadi seorang Isteri solehah.” Mata Akma terpaku pada mata Hasrol. Terpancar keikhlasannya. Dari hati ke hati.

Akma sambung bicara. “Saya tahu, saya bukan yang terbaik untuk awak. Tetapi saya akan cuba untuk menjadi yang lebih baik dari hari ini.”

“Mengenai pakaian, saya akan cuba untuk melabuhkan tudung dan baju saya.” Akma masih memandang tepat ke wajah Hasrol.

“Saya janji.”

Hasrol tersenyum girang.

Jiwanya begitu senang, tenang dan lapang mendengar luahan hati dari isterinya itu.

“Hasrol, saya minta awak sudi untuk bimbing dan pimpin saya ke arah jalan yang diredhai Allah. Sehingga ke Syurga. InsyaAllah.” Sambung Akma sambil menarik tangan Hasrol dekat dengannya. Dicium tangan suaminya itu.

Hasrol perlahan-lahan mendekatkan wajahnya ke wajah Akma. Satu ciuman didaratkan ke dahi Akma. Disusuli ke kiri kanan pipi Akma.

“InsyaAllah. Saya akan bimbing dan pimpin awak.” kata Hasrol tenang. “Yang penting, awak mampu kawal emosi awak.”

Air mata Akma perlahan-lahan mengalir dari kelopak mata. Terharu dirinya ditakdirkan menjadi pilihan buat Hasrol. Syukur pada-Mu ya Allah!

Hasrol mengingati kembali Hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh at-Thabrani, “Sebaik-baik kamu adalah yang baik kepada keluarganya dan aku adalah yang terbaik daripada kamu kepada keluargaku.”

Hasrol cuba untuk mencontohi Rasulullah s.a.w di dalam segenap sudut kehidupannya, termasuklah di dalam berumah tangga.

Pada malam itu, sauh diangkat dari dasar lautan. Di bentangkan layar kehidupan. Dikibarkan panji perjuangan. Maka, berlayarlah sebuah bahtera perkahwinan, dalam melakukan persediaan menghadapi gelombang hidup yang tidak keruan. Akma berada di dalam pelukan suaminya.