Pages

Subscribe:

Sunday, November 14, 2010

Berdakwah Tanpa Lambang

“Kita perlu bersatu hati. Sebab umat Islam ini adalah bersaudara. ‘Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, maka perdamaikanlah kedua-dua saudaramu yang bertelagah, moga-moga kamu mendapat kerahmatan’. Ini adalah firman Allah dalam Surah Al-Hujurat pada ayat ke-sepuluh”. Kata Azmin penuh bersemangat.

“Kita perlu yakin dengan ayat dari Surah Al-Hujurat ini bahawa asas kekuatan Umat Islam adalah dengan bersatu hati. Dan orang-orang yang berjaya membentuk ikatan persaudaraan ini, InsyaAllah akan dirahmati oleh Allah.”

Bersungguh-sungguh Azmin menerangkan seruan Allah untuk hamba-hamba-Nya bersatu. Bersatu di dalam segala hal. Bersatu di dalam segala perkara.

Azmin terus menyambung hujah, “Bukan sahaja ada di dalam al-Quran, di dalam hadis juga ada menyatakan bahawa orang Islam ini memang bersaudara. ‘Orang Islam itu dengan orang Islam yang lain adalah bersaudara. Tidak sesekali dia menzalimi saudaranya, mengkhianatinya, atau menyerahkannya kepada musuhnya’. Ini adalah Riwayat an-Nawawi. Dua sumber yang wajib kita yakini iaitu al-Quran dan Hadis nabi.” Muiz begitu teliti dengan kata-kata yang dilemparkan oleh Azmin. Muiz memandang Azmin.

“Kau sokong mana?” soal Muiz tiba-tiba.

“Maksud kau?” Azmin terpinga dengan soalan itu.

“Kau sokong PAS atau Umno?” Muiz bertanya lagi. Terus soalannya.

“Mestilah aku sokong PAS. Sebab parti itu sahaja yang menjadikan Islam sebagai dasarnya.” Jawab Azmin. Juga terus jawabannya.

“Aku nak beritahu kau, kau nasihatkan dulu orang-orang PAS. Baru kau layak tegur orang lain. Orang PAS sendiri pun amalannya tidak betul, mahu mengajak orang lain bersatu! Buka minda orang PAS dulu sebelum kau mahu buka minda orang lain! Orang Umno fikirannya ke depan, melakukan pemodenan dan pembangunan, bukannya mengajak orang lain untuk mundur semula ke belakang! Bukan kembali pada zaman jahiliyyah!” kata Muiz tiba-tiba lantang. Langkahnya terus diatur pergi meninggalkan Azmin. Azmin terkebil-kebil dengan kenyataan Muiz sebentar tadi. Mengajak orang untuk mundur ke belakang? Kembali ke zaman jahiliyyah? kolotnya pemikiran orang yang berkata itu. Lidahnya kelu, tidak terkata. Ajakan Azmin terhenti. Langkahnya juga turut terhenti. Malah terus terpaku di situ.

“Islam dulu, kini dan selamanya.”

Di satu sudut yang lain.
“Jom! Kita solat berjemaah.” Ajakan Ishak menghentikan lamunan Zahid. Zahid bingkas berdiri. Lalu dia berjalan mendapatkan Ishak yang menantinya di muka pintu. “Jom!” Zahid menyahut ajakan Ishak.

“Solat berjemaah ini penting. Pahalanya sebanyak 27 kali ganda berbanding kita solat bersendirian. Lebih afdhal dari solat sendirian.” Tazkirah Ishak pada rakan yang seiringan dengannya, Zahid. Secebis Tazkirah Segaris Tarbiyyah. Itu yang sering diamalkan oleh Ishak tidak kira siapapun yang bersama dengannya.

“Itu Hadis Riwayat Al-Bukhari” Zahid memberi tindak balas terhadap kenyataan Ishak.

“Benar!” Ishak mengangguk.

Pintas Zahid lagi dengan memetik ayat 43 dari Surah Al-Baqarah, “Dan dirikanlah solat, tunaikan zakat dan rukuklah beserta orang-orang yang rukuk (Al-Baqarah: 43)”.

“Benar!” Ishak sekali lagi mengangguk.

Ishak pula memintas, “Rasulullah bersabda, ‘Seseorang itu mengambil wuduk dengan sempurna lalu berjalan menuju ke masjid semata-mata untuk bersolat maka setiap langkah yang dilangkahinya akan ditingkatkan satu darjat, (langkah yang sama) digugurkan satu dosa, dan diberikan satu pahala. Setelah bersolat, jika dia terus duduk di dalam masjid (dengan keadaan berwuduk) maka para malaikat akan memohon rahmat dan keampunan untuknya. Selama mana dia terus menunggu untuk menunaikan solat yang seterusnya maka dia akan terus menerus mendapat pahala solat selama masa dia menunggu solat tersebut’. Hadis Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah.”

Giliran Zahid pula mengangguk-angguk. Zahid memandang Ishak yang sedang cuba mengingati ayat-ayat yang berkaitan.

“Kau sokong mana?” Soal Zahid tiba-tiba.

“Sokong apa? Ishak kembali merenung anak mata Zahid.

“Hijau atau Biru?” soalan yang berkias, namun persoalannya jelas.

“Oh! Mestilah biru. Aku tetap setia dengan Umno Barisan Nasional. Pembela bangsa. Hidup melayu!” Ishak menggenggam penumbuk lalu dijulang ke atas, bersemangat.

“Kalau begitu, aku tak mahulah solat dengan kau.” Kata Zahid tiba-tiba.

“Eh! Kenapa pula? Bukankah solat berjemaah ni lebih afdhal?” Semangat Ishak bertukar menjadi persoalan.

“Kau sokong Umno, solat kau tidak sah.” Kata Zahid berhaja.

“Eh! Fatwa mana kau pakai ni? Setahu aku...” Belumpun sempat Ishak menghabiskan ayatnya, Zahid telahpun bergerak meninggalkan Ishak. Ishak kelu tidak terkata, hanya gelengan kepala menggantikan kata-kata. Zahid kecewa dengan orang sebegitu.

“Bersatu, Bersetia, Berkhidmat”

Sahabat sekalian, apakah yang kamu dapat dengan dua situasi di atas? Benar. Tidak salah berpolitik. Tidak salah terjun ke medan siasah. Sebelum terus ke medan siasah, teluskanlah diri dengan tarbiyyah. Siasah dari manifestasi tarbiyyah adalah sesuatu yang indah. Jika kita terus ke medan siasah, ada saja di sekeliling kita yang tidak kena. Ini tak boleh, itu tak boleh. Ini haram, itu halal. Pelbagai hujah yang kita dapat dari ‘mufti-mufti tidak rasmi’ ini. Jika kita terlebih dahulu memahami erti ‘TARBIYYAH’, kita akan faham erti ‘BERHIKMAH’. Dakwah dengan kebenaran secara berhikmah.

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. (Al 'Ashr: 1-3)

Dakwah secara berhikmah! Berdakwah tanpa lambang!
“Eh! Anta salah konsep ni. Kita kena tampilkan izzah kita sebagai pendakwah kepada masyarakat.” Kata seorang sahabat satu kampus.

“Ya! Kita mesti tampilkan izzah kita sebagai pendakwah, tetapi sebagai pendakwah, bukannya sebagai ahli politik.” Balasku ringkas. Berdakwah tanpa lambang adalah lebih kepada win-win situation. Semuanya benar dengan ber’tapi’. Bukan semuanya salah tiada tapi-tapi. Asalkan kita tahu membezakan yang mana satu halal dan yang mana satu haram.

“Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas.” Hadis riwayat Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a.

Semuanya berpeluang untuk bercahaya, bukan semuanya kelam tidak berdaya. Cuma masanya masih belum tiba.

Berdakwahlah tanpa lambang, semua akan boleh terima dengan hati yang tenang. Yang pastinya jangan ditinggalkan istilah ‘berhikmah’. Pendakwah perlu bijak memainkan situasi. Jika di hadapannya adalah orang PAS, maka selitlah di celah-celah jiwanya untuk mencari kekusutan mindanya bagi dirungkaikan dan diperjelaskan supaya dirinya tidak terlalu taksub dengan menyatakan hanya dirinya sahaja yang betul. Sekiranya di hadapannya adalah orang Umno, jelajahilah di celah-celah mindanya untuk perbetulkan laluan pemikirannya agar jelas pemikirannya tentang erti sebenar pemodenan kerana apa yang orang ramai faham akan pemodenan adalah pembaratan. Yang penting adalah BERHIKMAH. Maka, nasihatilah masyarakat tanpa ada apa-apa lambang di jasad. Biarlah lambang-lambang itu hanya jelas pada hatinya. “Husnul Zhon untuk menjadikan masyarakat yang membangun. Tawazun dalam membina ummah bertamadun”. Husnul Zhon bermaksud bersangka baik, Tawazun bermakna kesederhanaan. Bersangka baik dengan kesederhanaan. Ada hikmahnya apabila tidak terlalu taksub.

“Anta tak faham lagi ni. Anta sudah cenderung kepada orang jahil, nanti anta juga ikut jahil. Tinggalkan mereka.” Jika anda ingin katakan saya sudah salah tarbiyyah, saya ingin bawakan anda semua dengan Sirah nabi dalam Perjanjian Hudaibiyyah. Pelajari diplomasi di sebalik perjanjian tersebut.

Perhatikan zaman kini.
“Saya mahu dermakan sebanyak RM100,000 kepada mangsa banjir.” Kata seorang berpangkat Dato’ yang ingin memberikan sumbangan kepada mangsa banjir. Dia memaklumkannya kepada pihak media.

“Boleh tak kalau saya cuma maklumkan hanya nama Dato’ yang ada dalam kad pengenalan?” kata Petugas itu.

“Maksud kamu?” soal Dato’ itu, separa terkejut.

“Maksud saya, saya cuma maklumkan kepada mangsa banjir bahawa bantuan derma ini disumbangkan oleh Fakhruddin bin Fakhrurazzi. Tanpa diletakkan gelaran Dato’ di awal nama Dato’.” Bicara petugas itu dengan santunnya.

“Eh! Mana boleh! Mesti kena letak gelaran Dato’ tu!” Tegas nadanya. Bukan sahaja tegas tetapi juga separuh menjerit. Petugas itu sedikit terkejut.

“Pada saya, sekiranya Dato’ tidak meletakkan gelaran ini, bukankah itu lebih nampak keikhlasannya?” jujur pengucapan Petugas itu.

“Tak boleh! Mesti kena letak gelaran itu di awal nama saya.” Tiada lagi senyuman pada wajah Dato’ Fakhruddin bin Fakhrurazzi.

“Tapi Dato’...” kata-kata petugas itu terhenti. Gementar dengan renungan tajam Dato’ tersebut. Petugas itu terus sertakan bersama gelaran Dato’ pada kertas sumbangan itu.

Begitulah manusia. Tuan, Dato’, Professor, Tun, Dr. Seri, dan pelbagai gelaran yang diperolehi jika tidak disertakan bersama-sama dengan nama pemiliknya, pasti pemiliknya marah tidak bertempat. Begitu ‘azimat’nya gelaran itu kepada mereka bagi menggambarkan kekuasaan dan pengaruh yang mereka miliki.

Apa kena mengena dengan Perjanjian Hudaibiyyah? Kitapun sudah sedia maklum dengan isi kandungannya. Di mana masyarakat kafir Quraisy Mekah tidak mahu perkataan Rasulullah diletakkan di dalam perjanjian itu sebaliknya hanya nama Muhammad bin Abdullah sahaja yang dibenarkan. Rasulullah lebih berpengaruh jika mahu dibandingkan dengan Dato’ tadi. Tetapi apa tindakan Rasulullah? Marah dan bertegas mahu perkataan Rasulullah dituliskan?

Tidak. Mengapa Rasulullah merelakan hanya nama Muhammad bin Abdullah sahaja yang ditulis? Kerana Rasulullah begitu bijak dalam mengatur strategi dakwah. Pemikirannya jauh ke depan. Cara pemikiran yang tidak terfikir oleh orang lain. Menyembunyikan ‘kekuatan sebenarnya’ di sebalik anggapan ‘lemah’ oleh pihak seteru. Kafir Quraisy menjangkakan syarat itu bakal merugikan orang-orang Islam, namun kerugian itu berbalik kepada kaum kafir Quraisy semula dan memaksa mereka untuk melanggar syarat perjanjian yang ditetapkan oleh mereka sendiri setelah semakin ramai penduduk Mekah memeluk Islam.

Apa yang diperlukan oleh Rasulullah dalam mendepani masyarakat Mekah pada waktu itu hanyalah kedamaian. Apabila kedamaian itu wujud, maka mudahlah dakwah itu menyelinap masuk ke dalam minda masyarakat situ. Itulah hikmahnya mengapa Rasulullah merelakan hanya ‘Muhammad bin Abdullah’ yang tercatat di dalam Perjanjian Hudaibiyyah itu dan bukannya ‘Rasulullah’.

Sia-sia saya ditarbiyyah? Saya masih tidak faham dengan medan siasah? Tahukah apa pesanan pertama Rasulullah semasa Perang Mu’tah berlaku setelah ketiga-tiga Panglima Perang syahid di medan jihad? Apabila diambil alih oleh Khalid al-Walid sebagai Panglima perang keempat yang thiqah peribadinya, bukankah pesanan pertama Rasulullah adalah mengajak pihak musuh untuk berdamai dan memeluk agama Islam? Tentu semua juga tahu bagaimana Rasulullah berhadapan dengan empat ketua kabilah yang berebut-rebut untuk meletakkan batu Hajarul Aswad di tempat asalnya. Iaitu dengan membentangkan serbannya, diletakkan batu Hajarul Aswad itu di tengah-tengahnya lalu diminta kepada keempat-empat ketua kabilah itu untuk meletakkannya di tempat asal bersama-sama. Bukankah ini lebih bersifat win-win situation tanpa memilih mana-mana kabilah untuk meletakkan batu Hajarul Aswad tersebut? Bagi yang sempurna tarbiyyahnya, tentu lebih tahu dari saya. Fikirkan dengan akal yang waras.

Di mana hikmahnya? Hikmahnya adalah apabila sesuatu perkara itu di pandang pada sudut positif, maka itulah hikmahnya.

Teruskan berfikir.