Pages

Subscribe:

Tuesday, September 28, 2010

Menghargai


“Nak gula-gula?” Gadis di hadapan Najmi sedang menghulurkan sebiji gula-gula HACKS kepadanya. Terpamer bersamanya senyuman manis yang terlakar di bibir.

Najmi menggeleng kepala, “Tak nak. Terima kasih sajalah.” Bicara Najmi santai. Namun, tangan kanannya tetap mengambil gula-gula tersebut dan memperhatikan perkataan yang ada pada pembalut gula-gula itu. “Terima kasih”. Kata Najmi lagi. Senyuman gadis itu semakin bermekar.

“HACKS. Hanya Aku Cinta Kau Seorang.” Najmi memandang ke wajah gadis itu. Melihat reaksinya. Gula-gula tersebut dimasukkan ke dalam poket bajunya.

Lantas kelihatan barisan gigi hadapan gadis itu. Ayu sungguh wajahnya. Sesuai dengan nama yang sungguh ayu dimilikinya, “Melampau.” Tamparan lembut mengenai bahu Najmi.

Najmi tersenyum riang. Lapang fikiran yang sering berserabut. Tenang dari tindakan yang kelam-kabut. Senang berdampingan dengan gadis tersebut.

“Terima kasih untuk gula-gula ini. Nanti aku belanja kau, okey? Guna duit kau.” Gurau Najmi sambil ketawa kecil.

Gadis itu memandangnya dengan dahi berkerut, “Mana aci!”

“Aci ada di Indialah!” Balas Najmi, juga dalam keadaan santai.

“Melampau!” Gadis itu dan Najmi terus ketawa. Sekali lagi bahu Najmi ditampar lembut.

Najmi sungguh menghargai gadis ayu ini.

Terlalu menghargai.

Entah dengan apa yang ada di dunia ini dapat dibandingkan betapa harganya kehadiran insan ini.

Namun kita terlupa.

Jika hanya gula-gula HACKS yang diberikan oleh gadis ini dapat dihargai dengan sepenuh hati, mengapa pemberian yang terlalu banyak dikurniakan oleh Pencipta kita, boleh diabaikan begitu sahaja?

Pernah terfikir?

Mungkin ya, namun kita sering terlupa. Mengapa? Makna ‘manusia’ sahaja sudah menunjukkan yang manusia ini adalah ‘Pelupa’. Lupa untuk bersyukur. Bersyukur dengan pemberian yang terlalu besar yang Allah telah berikan kepada kita. Nikmat Iman, nikmat Islam, nikmat udara yang kita hirup sepanjang hayat kita.

Perhatikan sahaja surah Ar-Rahmaan. Terdapat 31 ayat yang sama diulang-ulang untuk menyatakan betapa Pemurahnya Allah dalam mengurniakan nikmat kepada Hamba-hamba-Nya, tidak kira samada mereka beriman ataupun tidak. Persoalan yang bertanyakan apa lagi nikmat Tuhan yang hendak kita dustakan? Namun, kita sering gagal untuk menghargainya.


“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?” (Ar-Rahmaan)


Sekali lagi ingin ditanyakan kepada anda semua, nikmat yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu yang kamu hendak dustakan? Jadi, hargailah nikmat pemberian Allah ini dengan menjadi Hamba-Nya yang beriman. Beriman dengan enam rukun Iman yang telah kita pelajari.


“Ingatilah Aku, maka Aku akan mengingati kamu, bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu kufur” (Al-Baqarah: 152)


Tidak salah untuk menghargai pemberian gadis ini ataupun pemberian dari sahabat anda. Tetapi, kembalikanlah segala penghargaan itu hanya kepada Allah kerana Dialah yang mengurniakan pemberian tersebut. Jadikan gadis ini hanya sebagai wasilah anda untuk menuju matlamat anda yakni Allah.


“Sesiapa daripada kalangan kamu yang bersyukur, maka akan Aku tambahkan untuk kamu (nikmat kamu), namun sesiapa daripada kalangan kamu yang kufur (tidak bersyukur) maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih" (Ibrahim: 7)


Seminggu sudah berlalu. Najmi menyeluk poket bajunya. Masih tersimpan kemas gula-gula HACKS yang diberikan oleh gadis itu padanya seminggu yang lalu. Sayang rasanya jika gula-gula itu dimakan. Padanya jika gula-gula itu dimakan, pasti tiada lagi yang boleh mengembalikan ingatan kenangannya pada gadis tersebut. Namun, sampai bila?

Manusia itu adalah makhluk Allah. Allah yang menciptakan manusia. Allah yang menjadikan kita. Mengapa kita terlalu menghargai pemberian manusia yang hakikatnya juga diciptakan oleh Allah yang Maha Esa? Tidakkah pemberian manusia itu juga adalah pemberian dari Yang Maha Kuasa. Manusia itu hanyalah sebagai wasilah, sebagai perantara. Pemberian dari manusia perlu dihubungkan kepada Allah Yang Maha Pemberi Nikmat, barulah segalanya akan terasa indah, kehilangannya pula tidaklah berasa resah kerana segalanya telah dihubungkan dengan Allah.


“Sesungguhnya daripada Allah kita datang dan kepada Allahlah kita akan kembali.” (Al-Baqarah: 155)


Apabila sampai masa, gula-gula HACKS itu pasti tidak boleh dimakan lagi. sedangkan pemberian Allah itu selama-lamanya akan terus mengalir kepada setiap manusia.

Apa tunggu lagi? Hargailah pemberian Allah kepada kita. Jadikanlah pemberian manusia itu sebagai wasilah yang menghubungkan penghargaan kita dengan matlamat kita. Gadis itu hanya sebagai wasilah dan Allah sebagai matlamatnya.

Sekiranya anda menghargai pemberian Allah, maka Allah akan menghargai kita. Cubalah untuk menghargai. Menghargai pemberian Ilahi buat diri.


Terima Kasih Cikgu

“Abang, tolong ajar macam mana nak buat soalan ini?” Satu suara menyapa. Aku kenal benar dengan suara itu. Itulah suara adikku. Aku berpaling ke arahnya sebelum mataku tertumpu kepada kertas yang dibawanya.

Kertas yang mengandungi beberapa soalan kecil, tertera di atasnya ‘Tugasan Individu’. Matapelajaran RekabentukLitar Bersepadu. Ada satu soalan yang dibulat besar pada nombor soalan, soalan itulah yang menjadi persoalan. Perlukan terjemahan. Aku duduk membetulkan kedudukanku dari berbaring. Kertas itu dicapai.

“Bila hantar?” soalku ringkas sambil mataku terus tertancap pada butir soalan itu.

“Esok” jawab adikku juga ringkas sambil tangannya menghulurkan sebatang pen. Inilah kelaziman para pelajar. Esok perlu hantar, hari ini baru buka buku.

Mindaku terus bermain. Cuba memecahkan kebuntuan ini.

Kertas kosong dicapai, melakarkan beberapa aksara dan ilustrasi untuk menjawab soalan itu.

Persoalan yang memerlukan kita melakukan langkah-langkah untuk merekabentuk litar bersepadu. Terdapat enam langkah kesemuanya. Peneranganku bermula dengan Truth Table, Boolean Expression, Logic Circuit, Transistor Logic Circuit, Euler Path dan akhirnya proses Stick Diagram. Banyak kertas terpakai digunakan bagi menjawab persoalan ini. Maka, selesailah satu soalan mudah yang mempunyai banyak langkah-langkah yang perlu dilakukan berhati-hati. Tersilap langkah, pasti kehilangan markah.

Aku serahkan kembali kertas soalan itu kepada adikku, bersama jawabannya. Anggukkannya memberi makna bahawa dia memahami penjelasanku.

“Terima kasih, cikgu!” kata adikku sambil membawa pergi segala perkakasannya ke dalam biliknya. Persoalan terjawab. Aku lega dapat membantunya.

‘Terima kasih, cikgu’. Terngiang-ngiang kata-kata itu di minda. Aku tersenyum sendiri. Memori lama menerjah kembali.


“Bangun....” laung ketua kelas.

Semua ikut bangun.

“Selamat pagi, cikgu!” ucap ketua kelas dengan lantang dan diikuti oleh semua pelajar. “Selamat pagi, Cikgu!”

“Baik. Semua boleh duduk.” Arah guru tersebut. Guru yang bernama Zafran Azizan mengajar bagi matapelajaran matematik. Tegas pengajarannya. Pantang ada pelajar yang tidur ketika dia mengajar, pasti rotan yang akan menjadi teman kepada pelajar itu.

“Hari ini saya akan buat satu kuiz. Semua keluarkan kertas kosong.” Kata Cikgu Zafran sebaik sahaja dia meletakkan bukunya di atas meja guru.

Berjalan ke tengah kelas.

Semua pelajar mengeluarkan kertas kosong dan bersedia menerima apa sahaja bentuk soalan.

Dengan perlahan Cikgu Zafran bergerak ke hadapan kelas dan melakarkan sesuatu di atas papan hitam. Soalan berkenaan masa. Melibatkan dua hari. 24 jam perlu diambil kira. 60 minit memainkan peranan dalam pengiraan itu. Semua pelajar kusyuk menyalin soalan tersebut. Selesai menyalin soalan, mereka terus mencari jawaban bagi persoalan itu.

Seperti biasa, kelas matapelajaran matematik bagi Tingkatan 3 Waja mempunyai sistem dan strategi yang berbeza dari kelas lain. Ia mengikut sistem pendidikan sekolah cina. Iaitu salah, denda.

40 orang pelajar dibahagikan kepada lima kumpulan kecil dengan setiap kumpulan mempunyai lapan orang ahli kumpulan. Aku ditempatkan di dalam kumpulan yang diberi nama Harimau bintang. Empat kumpulan lain diberi nama Singa, Gajah, Harimau Belang dan Badak sumbu. Nama-nama haiwan yang gagah berani. Melambangkan betapa gagahnya pemikiran pelajar-pelajar tingkatan 3 Waja.

Siapa yang dapat menyelesaikan persoalan itu, terus ke meja guru untuk disemak. Cikgu Zafran akan menanda kertas soalan setiap pelajarnya samada betul atau salah. Aku di kalangan pelajar pertengahan yang menuju ke meja guru. Masih ramai yang belum habis menjawab persoalan itu.

Setibanya aku di meja guru, Cikgu Zafran mula menanda kertas soalanku. Alhamdulillah. Aku berjaya. Soalan yang aku jawab memiliki jawaban yang betul. Aku terus menuju ke arah kumpulan aku, Harimau Bintang. Berkumpul bersama rakan-rakan sekumpulanku. Masih menanti ahli kumpulan yang lain.

Salah dan denda. Itulah prinsip pengajaran bagi kelas matapelajaran Matematik ini. Sesiapa yang menjawab soalan dengan jawaban yang salah, perlu berdiri di hadapan kelas bersama-sama mereka yang mempunyai jawaban yang salah.

Setelah semuanya selesai menjawab, Cikgu Zafran menuju ke hadapan kelas ke arah pelajar-pelajar yang memiliki jawaban salah. Seperti biasa, setiap orang yang salah jawabannya akan diberi ‘hadiah’ berbentuk rotan di tapak tangan. Empat ahli kumpulanku turut serta di antara mereka yang diberi ‘hadiah’ itu. Aku tersenyum melihat mereka dirotan, namun aku terlupa. Konsep yang digunakan juga oleh Cikgu Zafran ini juga adalah ‘Prinsip Berjemaah’. Sebahagian anggota badan terasa sakit, seluruh tubuh jua pasti akan merasa sakit.

“Kumpulan mana yang ahli kumpulannya sikit sahaja yang betul?” Soal Cikgu Zafran kedengaran di celah-celah ruang suara mereka yang menahan kesakitan setelah dirotan.

Aku memerhati sekeliling, memerhati bilangan ahli kumpulan lain sambil memerhati juga ahli kumpulan aku. Kumpulan aku yang berjaya menjawab dengan betul adalah seramai empat orang. Empat di dalam kumpulan dan empat lagi di depan kelas. Sedangkan ahli kumpulan lain yang dapat menjawab dengan betul adalah seramai lima hingga tujuh orang. Ini bermakna ahli kumpulan akulah yang paling sikit.

Laung Cikgu Zafran lagi, “Semua ahli kumpulan Harimau Bintang, dengan segala hormatnya, sila ke depan.” Perlahan-lahan kami berempat menuju ke hadapan kelas. Maka, kami juga turut diberikan hadiah ‘rotan’ di tapak tangan. Sakit tidak terkata. Perit sungguh terasa. Inilah Prinsip Berjemaah yang terlaksana. Susah dan senang sentiasa bersama. Ini juga mendorong ahli kumpulan yang mahir dalam pengiraan matematik untuk mengajar ahli kumpulannya yang lemah dalam matapelajaran ini. Tidak ada istilah ‘Aku pandai, kau bodoh’ dalam kelas ini. Semuanya berbentuk ‘win-win situation’, sama-sama pandai, sama-sama hebat.

45 minit berlalu. Kelas matematik tamat.

“Bangun....” laung ketua kelas.

Semua ikut bangun.

“Terima kasih, cikgu!” ucap ketua kelas dan diikuti oleh semua pelajar. Cikgu Zafran berjalan keluar kelas. Pelajar kembali duduk di tempat masing-masing sambil merenung dalam ke tapak tangan mereka. Aku tidak terkecuali.


Terhenti lamunan.

Aku memerhatikan kelender yang terpamer di dinding rumah. Tahun 2010. Memori itu adalah pada tahun 2000. Sepuluh tahun sudah berganjak. Pantasnya masa berlalu. Selepas graduasi pada tahun 2009. Aku kini sudahpun bekerja. PMR, SPM, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda telahpun kulalui penuh suka dan duka. Banyak lagi memori yang masih tersimpan kemas. Tidak terjejas. Masih lagi jelas. Yang pastinya tidak akan kubiarkan terlepas.

Tersenyum sendiri apabila mengenangkan peristiwa itu. Memerhati tapak tangan yang sudahpun tidak berbekas dengan libasan rotan. Namun kenangannya tetap berbekas di dalam ingatan.

Guru. Pendakwah kedua selepas ibu dan bapa. Perlu dihargai sepenuhnya. Merekalah pewaris Nabi dan para Rasul yang terus-terusan menyebarkan ilmu di muka bumi ini. Bergunanya ilmu mereka tidak akan berakhir sehingga usia dunia ini berakhir. Demi melihat Islam diagungkan kembali setelah ilmu dikuasai. Dengan mengorak langkah untuk menjadi Mukmin Profesional dan sejati. Mulianya jasamu guru perlu dihargai.

Jam di dinding menunjukkan pukul 11.30 malam. Esok aku perlu ke kerja bagi melunaskan permasalahan yang tertangguh petang tadi.

Aku berjalan menuju ke bilikku.

Kembali merenung tapak tanganku.

Dengan perlahan aku bersuara dan berkata.

"Jasamu sentiasa di hatiku. Terima Kasih Cikgu!"


Hamba Khalifah


Hari ini adalah hari Sabtu. Dua hari lepas, aku telah menerima mesej dari sahabatku Rahman, yang berada di Balik Pulau, Pulau Pinang. Katanya dia ingin datang ke Kulim untuk berjalan-jalan merehatkan minda di sekitar bandar ini. Aku diminta untuk mengambilnya di Stesen Bas Kulim setibanya dia di sini nanti. Kini, aku sedang menunggu ketibaannya di Stesen Bas Kulim.

Sedang aku memerhatikan bas yang keluar masuk di situ...

“Aku geramlah!” Rungut seorang insan yang berada berhampiranku. Dia sedang berbicara kepada rakan di sebelahnya. Aku memalingkan mukaku ke arah mereka seketika untuk melihat apa yang sedang berlaku.

“Kenapa?” Soal rakannya.

“Ada orang cuba putuskan hubungan aku dengan kawan baik aku.” Katanya sedikit bernada kesal. Keluhan dilepaskan.

“Bagaimana dengan kawan kau?”

“Dia sudah tidak percayakan aku lagi.” Insan yang bernama Sofea Alya itu meraup muka dengan kedua-dua belah tangannya. Kesal dan kecewa sedang meraja di hati. Kawan baiknya sendiri sudah tidak mempercayainya lagi. Kawannya itu lebih gemar mempercayai kata-kata orang lain mengenai keburukkannya. Dia buntu.

“Dalam perhubungan perlu ada kepercayaan. Tanpa kepercayaan, perhubungan itu akan retak.” Rakan kepada Sofea Alya yang bernama Siti Sarah sedang melemparkan kata-kata hikmah. Hikmah yang perlu diterokai. Sofea mengangguk lemah. Lemahnya diri ketika ini.

Sarah terus berbicara.

“Sama-samalah kita menjaga kepercayaan itu. Sekali orang sudah hilang kepercayaan pada kita, selamanya dia tidak percaya kepada kita.”

“Tetapi, belum tentu kepercayaan itu akan menjanjikan kebahagiaan, bukan?” Kata Sofea lagi. Matanya merenung ke dalam anak mata Sarah. Meragui kesinambungan antara kepercayaan dan kebahagiaan. Hakikatnya apabila orang sudah mula mempercayai kita, itu petandanya kita hampir kepada bahagia. Maka, kita perlu memelihara kepercayaan tersebut supaya kebahagiaan juga dapat dipelihara.

“Sekurang-kurangnya, apabila kita sudah dipercayai, kita masih lagi boleh menyelesaikan masalah. Walaupun tidak bahagia, kita tetap puas kerana masih lagi menjadi harapan orang lain untuk dipercayai.” Lagak Sarah seperti seorang pakar motivasi. Menasihatkan Sofea Alya untuk terus tabah.

Aku yang berada berhampiran dengan mereka cuba untuk mengambil mutiara hikmah yang cuba dirungkaikan mereka berdua.

Suasana sepi seketika.

“Macam mana kita mahu menjaga kepercayaan orang terhadap kita?” Sofea melontar soalan dengan nada yang agak lemah. Kecewa masih meraja di hati dengan sikap kawan baiknya sendiri. Suasana sepi lagi. Kini mereka berdua memandang ke arahku. Seolah-olah cuba meminta aku untuk bersimpati.

“Boleh tolong nasihatkan kawan saya ni, Abang?” kata Sarah yang memandang ke arahku. Senyumannya dilemparkan. Memaparkan barisan gigi yang putih. Sofea menepuk lembut bahu Sarah. Malu dengan tingkah kawannya itu. Aku tersenyum.

Akhirnya aku terjebak sama ke dalam permasalahan ini.

Minda cuba menyusun kata.

Mudah-mudahan hatinya mudah menerima kata-kataku.

Aku berharap sebegitu.

Kepercayaan dalam bahasa arab disebut sebagai 'Thiqah'. Kepercayaan itu boleh dijaga dengan dua perkara iaitu 'kata' dan 'buat'. Bukannya berkata semata-mata tanpa dibuktikan melalui perbuatan.” Aku merenung ke arah mereka berdua. Mereka mengangguk perlahan. Setia mendengar.

“Macam mana pula kalau satu perkara yang kita tidak buat, tetapi dituduhnya kita yang buat, sedangkan kita dah cuba kemukakan bukti dan kebenaran yang kita tidak buat, tetapi masih lagi tidak dipercayai? Apa yang patut kita buat untuk dapatkan semula kepercayaan itu?” Soal Sarah tanpa sempat untukku terus berbicara.

Aku merenung ke anak matanya, “'Buat'kan seseorang itu percaya.” Kedua-dua jari telunjukku membentuk pembuka dan penutup kata ketika aku menyebut perkataan ‘Buat’.

Mereka berdua sedikit terkejut. ‘Buat’kan seseorang itu percaya? Sukar untuk percaya. Bagaimana caranya?

“Andainya dia tidak mahu percaya. Buatkan teman-teman di sekelilingnya mempercayai kita. Sekurang-kurangnya jika dia tidak percaya dengan kita, rakan-rakannya masih mampu membuatkan dia percaya kepada kita biarpun hanya sedikit. Pinjam kata-kata Ustaz Hasrizal Abd Jamil, ‘tidak perlu kita mencari sahabat, tetapi jadikan kita orang yang mampu untuk dijadikan sahabat’. Bererti kita terlebih dahulu perlu 'memberi' keyakinan sebelum kita 'menerima' semula keyakinan dari orang lain.” Bicaraku terhenti seketika. Mereka berdua mengubah tempat dan duduk betul-betul di hadapanku. Mengadapku. Mungkin tidak mahu terlepas setiap butir kata yang keluar dari bibirku.

“Kami sudah bersahabat lama, tiba-tiba kepercayaan itu hilang tanpa kita yang melakukan kesalahan tersebut. Mungkinkah ada insan lain yang cuba putuskan hubungan baik kami?” Lontaran soalan Sarah menunjukkan yang dia adalah seorang yang begitu teliti di dalam sesuatu perkara. Setiap inci perbuatan mesti diambil kira.

Sejak dari tadi aku berbicara dengan mereka, hanya Sarah yang sering melontarkan soalan, sedangkan Sofea hanya menjadi seorang pendengar. Persoalannya bergema lagi, “Sudah berkawan lama, kepercayaan itu hilang tiba-tiba. Mengapa?”

Aku mengatur kata, “Kecelaruan Pemikiran. Mungkin. Adanya pihak ketiga tidak selesa dengan nilai persahabatan yang telah terbina. Sepasang sabahat baik yang cuba dipisahkan dengan 'Syak Wasangka' dari orang yang kurang fikir dan zikirnya. Tetapi, andai benar persahabatan itu terbina atas dasar iman, datanglah segala dugaan dan ujian sekalipun, persahabatan itu tetap tidak akan goyah. Hanya mereka yang beriman mampu membezakan yang mana satu benar dan yang mana satu batil.”

“Kadang-kadang akal yang ligat berputar itu berfikir sehingga melampaui batasan akal fikiran mereka.” Katanya lagi. Mungkin ingin menguji sejauh mana kebenaran kata-kataku.

“Kadang-kadang akal yang ligat berputar itu berfikir sehingga melampaui batasan akal fikiran mereka…” Aku berhenti seketika, dan menghabiskan ayat tersebut, “Jika tidak disertakan bersama dengan 'hati yang sarat berzikir'. Zikir dan fikir perlu diukir bersama supaya apa yang kita cuba tadbir selari dengan takdir. Tidak terpisah antara kedua-duanya. Ia juga mampu untuk mengembalikan kepercayaan, kerana dunia dan akhirat telah cuba kita usahakan.

“Tapi pada zaman sekarang, walaupun hati penuh dengan berzikir sekalipun, masih lagi melakukan maksiat. Seperti yang kita tengok sekarang, ustaz pun ada juga yang berkhalwat. Sedangkan di dalam hati penuh dengan amalan mulia.”

“Ini kerana apa yang dikejar oleh 'Ustaz' itu adalah 'berzikir' sedangkan dia tidak 'berfikir'. Orang yang 'berzikir' akan sentiasa merasakan dia hanyalah HAMBA ALLAH. Dan orang yang 'berfikir' akan sentiasa merasakan dia adalah KHALIFAH. Mustahil dapat melakukan maksiat andai dua-dua ini disatukan.”

“Bagaimana kita mahu beri kesedaran kepada semua umat Islam bahawa kita adalah Khalifah dan kita juga adalah Hamba Allah?” Sofea yang sebelum ini diam, kini bersuara.

“Didik diri kita bahawa ‘Kita hina sebagai Hamba Allah, tetapi kita mulia sebagai Khalifah’. Pesanan dari Erbakan, iaitu presiden Turki pada tahun 1995 yang diambil dari kata-kata Umar Al-Khattab, ‘Ambillah iktibar dari sejarah. Kita adalah kaum yang Allah muliakan dengan Islam. Jika kita mencari kemuliaan daripada selain-Nya, kita akan dihina Allah.’"

Suasana sepi seketika. Sedang mencerna mutiara bicara.

Aku terus berbicara,

“Semaikan di dalam minda bahawa manusia diciptakan berbeza-beza. Jadikan sifat menerima kekurangan orang lain sebagai satu kelebihan kita. Dan ia akan membuatkan kita sentiasa 'bersabar' dan 'bersyukur' dengan apa yang sedang terjadi. Maka, terwujudlah 'Kebahagiaan' dalam diri sendiri.”

“Sesungguhnya ilmu yang kita ada bukanlah untuk kita seorang sahaja, malah ia juga untuk orang lain juga. Betul tak?” Sarah kembali bersuara.

Yup! Betul! Nabi kita juga pernah berpesan, ‘Sampaikan ajaranku walaupun sepotong ayat’. Jangan jadikan kita hanya sebagai 'penuntut ilmu' di Universiti, sebaliknya jadikanlah kita sebagai 'penyebar ilmu' di Bumi Ilahi.” Aku dapat mengagak bahawa mereka ini adalah penuntut Universiti berdasarkan buku-buku yang dibimbing mereka. “Teruskan berusrah dan berhalaqah supaya ilmu kita semakin bertambah, InsyaAllah.” Aku tersenyum. Wajah mereka penuh minat. Semoga perbincangan ini ada manfaat.

“InsyaAllah Ustaz. Didiklah anak buahmu ini sebaik-baiknya supaya apa yang dikatakan tadi menjadi iktibar kepada kita bahkan juga untuk semua. Boleh?” Aku ketawa mendengar ‘permintaan’ Sarah. Gelaran ‘Ustaz’ itu membuatkan aku geli hati. Apalah sangat ilmu yang aku ada berbanding gelaran ‘Ustaz’ itu.

“InsyaAllah jika diberikan KEPERCAYAAN.” Sengaja aku tekankan perkataan ‘kepercayaan’, itulah topik di awal perbincangan mereka tadi. Mereka tersenyum.

Bas City Liner berwarna merah memasuki ke ruangan Stesen Bas. Tertera di papan atas bas di bahagian depan itu destinasi yang dituju ‘506-Butterworth’.

Kelihatan dari jauh, Rahman menuruni dari bas itu sambil mencari-cari seseorang. Aku melambai ke arahnya. Rahman berpaling ke arahku dan berlari mendapatkanku.

Seketika kemudian, Sarah dan Sofea meminta izin untuk beredar kerana bas yang mereka tunggu telahpun tiba. Mereka berdua menaiki bas tersebut sebaik sahaja semua penumpang turun. Destinasi kereka adalah ke Butterworth.

Teringat aku pada nasihat terakhir buat mereka berdua, “Jangan jadikan kita hanya sebagai 'penuntut ilmu' di Universiti, sebaliknya jadikanlah kita sebagai 'penyebar ilmu' di Bumi Ilahi.”


“Hendaklah ada di kalangan kamu umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh dengan maaruf (yang baik baik) dan melarang dari yang mungkar; dan mereka itulah yang menang
(Ali-Imran: 104)”


“(Inilah) surat telah Kami turunkan dia dan Kami tetapkan (hukum hukumnya) dan Kami turunkan didalamnya beberapa ayat yang terang, mudah mudahan kamu mendapat peringatan
(An Nur,24:1)”


“Sesungguhnya orang orang yang kafir sama bagi mereka, engkau beri peringatan mereka atau tiada engkau berikan peringatan, nescaya tiada juga mereka beriman
(Al-Baqarah:6)”


"..Sesungguhnya yang dapat kamu beri peringatan hanya orang-orang yang takut kepada azab Tuhannya (sekalipun) mereka tidak melihat-Nya dan mereka mendirikan sembahyang... (Fatir:18)”


"Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (Wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi peringatan (Al Ghaasyiyah:21)”


"Katakanlah: 'Sesungguhnya ilmu (tentang itu) hanya pada sisi Allah. Dan sesungguhnya aku hanyalah seorang pemberi peringatan yang nyata.' (Al-Mulk: 26)”

"Katakanlah, 'sesungguhnya aku hanya seorang pemberi peringatan, tidak ada Tuhan selain Allah Yang Maha Esa, Maha Perkasa' (Sad:65)”



Kita hina sebagai Hamba Allah, tetapi kita mulia sebagai Khalifah. Hamba berjiwa Khalifah. Perlu memberi peringatan.