Pages

Subscribe:

Saturday, February 27, 2010

Mainan Minda Kiri


Terfikir juga aku, mengapa Pakatan Rakyat memilih logo sebegini sewaktu konvensyen Pakatan Rakyat pertama yang telah berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam Selangor pada 19 Disember 2009 yang lepas? Pastinya bukan sesuatu yang bersifat 'suka-suka' atau 'saja-saja' pada logo yang berlatarbelakangkan warna oren itu. Dan tentunya ada makna tersirat yang berselindung di sebaliknya.

“Kenapa logo sebegini?”
“Saja-saja”
“Takkan saja-saja?”
“Suka-suka”


Di sebalik ‘saja-saja’ dan 'suka-suka' itu pastinya membuahkan perasaan ingin tahu kepada sesiapa saja yang bertanya. Mana mungkin boleh wujud ‘saja-saja’ jika tidak mempunyai agenda yang bersifat ‘ada udang sebalik batu’ ini. Pastinya motto yang tertera di bawah logo tersebut telah menggambarkan agenda atau dasar perjuangan setiap parti tersebut.

“Berpadu” mungkin dicetuskan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang cuba mewujudkan persefahaman dan penggabungan antara parti-parti ini untuk ‘berpadu’ menentang seteru mereka yang satu itu atau bersifat ‘one by one’.

“Berubah” pula dimiliki oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang dari dulu dengan agendanya ‘Malaysia Malaysian’ iaitu Malaysia milik rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama.

“Berkat” pastinya bukan milik DAP. Ianya adalah milik Parti Islam Semalaysia (PAS) yang secara terang-terangan inginkan keberkatan di dalam sesebuah pentadbiran.

Kemudian, sengaja aku menggabungkan bendera ketiga-tiga parti besar dalam Pakatan Rakyat (TV3 sebut Pakatan Pembangkang @ Pakatan Phembangkhang) dengan menggunakan perisian Adobe Photoshop untuk dibandingkan dengan logo yang telah sepakat dipilih oleh Pakatan Phem.. er.. Pakatan Rakyat sebelum berlangsungnya Konvensyen yang lepas.

Bijak benar siapa yang mengilhamkan logo konvensyen ini. Aku dapat rasakan yang logo ini sebenarnya adalah cubaan pengilham logo tersebut untuk menggabungkan logo-logo parti yang terbentuk di bawah Pakatan Rakyat iaitu Mata Keadilan, Roket dan Bulan.


Jika diperhatikan lagi logo-logo tersebut, maka di tengah-tengahnya adalah gambar bunga raya yang merupakan Bunga Kebangsaan Malaysia sambil dikelilingi oleh tiga orang yang sedang berpimpin tangan. Tentunya ketiga-tiga orang itu adalah pimpinan tertinggi parti-parti berkenaan. Boleh jadi juga ketiga-tiga orang itu adalah tiga bangsa terbesar di dalam Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.


Tambahan pula, Pakatan Rakyat juga telah mencapai kata sepakat pada 13 Ogos 2009 yang lalu untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat sebagai satu pertubuhan tidak lama lagi. Biarpun syarat untuk mewujudkan satu pertubuhan berdaftar perlunya sebanyak tujuh parti, ia hanyalah peraturan dan bukannya undang-undang. Sekiranya benar-benar terjadi, apakah logo ini yang akan digunakan oleh Pakatan Rakyat?

Apa-apa pun, ini hanyalah mainan minda kiri yang sememangnya bersifat imaginasi. Mungkin sebahagiannya benar dan mungkin juga sebahagiannya salah. Hanya pengilham logo ini sahaja yang bisa mendedahkan makna yang tersirat di sebalik tersurat ini. Kepada pihak-pihak yang tersentuh, maaf dipohon. Adios amigos!

Thursday, February 25, 2010

Langkah Berani MB Kedah

Jarang berlaku mana-mana kerajaan di Malaysia, samada Kerajaan Pakatan Rakyat di Kelantan, Selangor, Pulau Pinang atau mana-mana Kerajaan BN samada di peringkat negeri mahupun Pusat buat rombakan EXCO atau Kabinet di pertengahan tempoh pemerintahan kecuali jika ada berlaku kematian.

Kerajaan Pakatan Rakyat membuat langkah pemula, melangkah satu tapak ke hadapan, membuat satu 'precedent' berkemungkinan akan membuat satu rombakan EXCO. Umum mungkin membuat beberapa andaian samada ia berbentuk negatif atau sebaliknya.

Walau apapun, langkah 'berani' Menteri Besar Kedah mengumumkan kemungkinan berlaku rombakan barisan EXCO di Kedah menunjukkan serta membuktikan kepada rakyat bahawa Menteri Besar lebih mendahulukan prestasi atau 'performance' seseorang EXCO di samping mengeksploitasikan seoptimum mungkin serta mendedahkan segala kemahiran, segala ketokohan serta cerdik-pandai yang di miliki oleh sebahagian lagi ADUN yang ada demi pembangunan Negeri Kedah.

Kerajaan Pusat sepatutnya mencontohi langkah ini, bukan mengekalkan Menteri-Menteri atau Menteri-Menteri Besar yang tidak 'perform', yang bermasalah dengan parti dan sebagainya, malah yang kalah bertanding dalam piliharaya atau yang tidak bertanding langsung pun ditangkap-muat dibawa masuk menanggotai Kabinet melalui pintu belakang (Senator).

Jangan menghukum rakyat apabila slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dikatakan sebagai retorik sepanjang zaman.
Sumber: http://al-brangi.blogspot.com

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pakatan Rakyat berkata:
Ini menunjukkan kepada rakyat bahawa Menteri Besar lebih mendahulukan prestasi atau 'performance' seseorang EXCO.

Barisan Nasional berkata:
Ini menunjukkan kepada rakyat bahawa Negeri Kedah yang ditadbir oleh PAS sudah ketandusan pemimpin berkaliber.

Aku berkata:
Ini menunjukkan kepada rakyat bahawa “Lu Pikiaq laa sendiri”.

Saturday, February 13, 2010

Album Baru Mirwana - Bumi Akhir Usia


Album terbaru kumpulan Mirwana berjudul Bumi Akhir Usia kini sudah berada di pasaran. Album ini juga menampilkan ahli kumpulan Demascus, Edry di dalam lagu Bukti Cinta. Anda boleh mendapatkan album ini di kedai-kedai atau memuat turun secara online di DigiMusic.com.my (search mirwana). Malah anda juga boleh mendengar preview kesemua lagu di sana.


Tracklist:

1. Muhammad S.A.W 'The Arrival'
2. Andaiku Pergi (Retro Version)
3. Bumi Akhir Usia
4. Jauh (Radio Edit)
5. Bukti Cinta feat Edry Demascus
6. Kembali PadaMu
7. Fana Pesona
8. Andaiku Pergi (Original Version)
9. Tika Masanya Featuring HUJAN
10. Cahaya Kekasih
11. Anugerah Istimewa
12. Jauh (Original Version)
13. Andaiku Pergi (Instrumental)


Monday, February 8, 2010

Keputusan Mahkamah Persekutuan 9 Februari, Munajat & Doa


Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) akan menganjurkan ceramah penerangan pentas pemuda iaitu di DUN Behrang dan DUN Changkat Jering pada 7 Februari 2010 ini jam 9.00 malam. Beberapa barisan kepimpinan Pemuda Pakatan Rakyat peringkat Kebangsaan dan Negeri Perak akan memberikan ceramah pada malam tersebut. DUN Behrang menempatkan 2 lokasi iaitu di Kampung Rasau, Slim River dan Felda Sungai Klah, Sungkai. Manakala di DUN Changkat Jering pula di Kampung Pauh, Bukit Gantang. Pada 8 Februari 2010 ini pula, DPPN Pk akan menganjurkan Solat Hajat Perdana ‘Selamatkan Perak’ yang akan di imankan oleh Datuk Seri Ir Haji Mohammed Nizar Jamaluddin di Masjid Kampung Jeram, Kampar dan solat Maghrib berjamaah. Dan selepas itu akan diadakan Ceramah Perdana oleh Datuk Haji Mahfuz Haji Omar, Naib Presiden PAS dan Datuk Seri Nizar di Kampung Gunung Panjang (depan Sekolah Kebangsaan Gunung Panjang), Kampar jam 9.00 malam.

Jesteru, DPPN Pk menjemput dan mengalu-alukan kehadiran seluruh rakyat Negeri Perak yang cintakan demokrasi untuk sama-sama berada di dalam majlis tersebut. DPPN Pk juga menyeru agar kita sama-sama dapat menunaikan Solat Hajat memohon agar kebenaran dapat di tegakkan di Negeri Perak yang di cintai ini.

MOHD AKMAL KAMARUDIN
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

sumber:
http://www.tranungkite.net/v10/modules.php?name=News&file=article&sid=2345

Sunday, February 7, 2010

Bersama Kami Terajui MPP Universiti

Majlis Perwakilan Pelajar adalah satu jawatankuasa yang terdiri daripada mahasiswa yang memperjuangkan hak dan suara mahasiswa. MPP juga sememangnya menjadi perantara di antara Pihak HEP dan juga mahasiswa. Namun, apa yang dikesali adalah MPP yang hanya berpihak pada sebelah pihak sahaja iaitu lebih condong ke arah memperjuangkan kehendak Pihak Pentadbiran tanpa menghiraukan hak dan intergriti mahasiswa.

Sistem ‘Top-Down’ diamalkan oleh MPP yang condong ke arah Pihak Pentadbiran adalah sistem yang bersifat menjaga kepentingan sesuatu pihak dan tidak memberi apa-apa manfaat kepada mahasiswa. Amat rugilah bagi mahasiswa yang membayar yuran sedangkan mereka tidak diberikan informasi berkenaan ruang dan peluang untuk memanfaatkan segala kemudahan yang sepatutnya menjadi kegunaan mahasiswa. Sistem ‘Top-Down’ ini seharusnya disertakan bersama dengan sistem ‘Bottom-Up’ agar dapat menjadi ‘Check and Balance’ di antara kedua-dua pihak ini. Dan sistem inilah telah dengan relanya diabaikan oleh pihak Pentadbiran dan dibantu oleh MPP yang dikuasai oleh Aspirasi. Dengan ini Pro-Mahasiswa diwujudkan bagi mengembalikan suara dan hak mahasiswa dan bermottokan ‘Dari Mahasiswa Untuk Mahasiswa’.

04 Februari 2010 adalah penentu untuk MPP-UTHM pada penggal 2010 ini samada dikuasai Aspirasi ataupun Mahasiswa. Mahasiswa UTHM telah mengorak langkah dengan lebih jauh ke hadapan dan mendepani pelbagai mehnah dalam usaha mengembalikan hak dan suara mahasiswa. Bersesuaianlah dengan motto ‘Dari Mahasiswa Untuk Mahasiswa’ yang dilaungkan oleh mereka bagi menyatakan bahawa mereka cuba sedaya upaya untuk mewakili suara mahasiswa di universiti tercinta tanpa memerlukan campur tangan dari parti-parti politik luar.

Setelah melalui proses menamaan calon, sesi bantahan, berkempen dan kemuncaknya pada hari khamis iaitu 04 Februari 2010 yang menyaksikan persaingan sengit antara kedua-dua pihak ini. Keputusan muktamad bahawa kumpulan Aspirasi masih menjadi raja di UTHM untuk kesekian kalinya dengan memenangi 19 kerusi daripada 26 kerusi yang ditawarkan beserta 8 kerusi dimenangi tanpa bertanding oleh Aspirasi. Masyarakat kampus hanya dapat melihat 18 kerusi sahaja yang menjadi rebutan. 9 kerusi Umum dan 9 lagi adalah kerusi Fakulti. Pihak Mahasiswa menghantar 14 calon dengan 9 calon di kerusi umum dan 5 calon di kerusi Fakulti dan Pihak Mahasiswa hanya mampu meraih 7 tempat di MPP-UTHM iaitu 5 di peringkat Umum dan 2 lagi di Fakulti.

Ini tidak bermakna Calon Mahasiswa tidak diterima masyarakat kampus jika dilihat dari segi undian. Kerana undian tertinggi, kedua dan ketiga tinggi adalah milik Mahasiswa. Manakala dua lagi kerusi Mahasiswa di Fakulti Awam dan Fakulti Elektrik juga memiliki undian tertinggi. Mahasiswa UTHM dilihat berpotensi untuk menguasai keseluruhan MPP-UTHM jika momentum sebegini diteruskan lagi pada masa hadapan. Sekali lagi Mahasiswa berjaya mewujudkan ‘Gelombang Ungu’ di varsiti ini biarpun Calon Umum Mohd Hadi dan Janipal diserang dari segenap ruang yang wujud seperti banner disimbah cat, manifesto dipalsukan dan pelbagai lagi yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu. Namun, atas sebab untuk mewujudkan sistem ‘Top-down’ dan ‘Bottom-up’ serta ‘Check and Balance’ inilah yang membuatkan Mahasiswa memilih calon-calon yang berpotensi dalam kemahiran kepimpinan bagi mewakili suara mahasiswa untuk ditempatkan mereka di dalam MPP-UTHM dan diharapkan calon mahasiswa yang berjaya ini terus kehadapan dengan memartabatkan 'Harapan Mahasiswa'. Sesuai dengan warna ungu yang dipilih sebagai tema mereka yang membawa maksud 'Harapan'. Terus Berjuang.